GEORGE TOWN: Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memberikan kontrak utama kerja-kerja sivil Pakej 2 (CMC2) bernilai RM2.69 bilion bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang kepada tiga syarikat usaha sama.
Dalam satu kenyataan, MRT Corp berkata syarikat usaha sama itu membabitkan China Communications Construction Company, TRC Construction dan Ufuk Semarak (CCCC-TRC-UFUK).
Kontrak berkenaan meliputi kerja reka bentuk dan pembinaan jajaran penyambungan sepanjang kira-kira 5.5 kilometer dari Lebuh Macallum ke Penang Sentral, termasuk jambatan merentasi laut sepanjang 3.05 kilometer yang dilengkapi ruang laluan navigasi bagi membolehkan kapal keluar masuk ke pelabuhan Prai dan Butterworth.
Menurut MRT Corp, penyambungan itu akan menyediakan perkhidmatan rel secara langsung antara Pulau Pinang dan Seberang Perai, selain membolehkan penumpang membuat pertukaran kepada perkhidmatan pengangkutan awam lain di Penang Sentral, termasuk kereta api KTM, feri dan bas.
"Perjalanan antara KOMTAR dan Penang Sentral dijangka mengambil masa kira-kira lapan minit," menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim berkata pemberian kontrak CMC2 merupakan langkah penting dalam merealisasikan komitmen kerajaan untuk menambah baik pengangkutan awam demi manfaat rakyat.
Beliau berkata penyambungan itu mencerminkan visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan projek berkenaan turut memberi manfaat kepada masyarakat di kedua-dua belah selat.
"Hasrat beliau adalah untuk memastikan Laluan Mutiara dapat memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai orang, membuka lebih banyak peluang dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang lebih inklusif.
"Dengan pemberian kontrak CMC2, kita kini mengambil langkah penting ke arah merealisasikan aspirasi itu. Tanggungjawab kita bukan sekadar menyediakan infrastruktur, tetapi juga memastikan rakyat menikmati manfaat jangka panjang yang dijanjikannya," katanya.
Sementara itu, MRT Corp berkata kemajuan keseluruhan pembinaan projek LRT Laluan Mutiara telah mencapai 16 peratus dan kekal mengikut jadual.
MRT Corp turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Pulau Pinang atas kesabaran, pemahaman dan sokongan berterusan mereka sepanjang kerja-kerja pembinaan dijalankan.
-- BERNAMA