Ringkasan AI
- Diabetes jenis 2 kini dikesan dalam kalangan remaja seawal usia 14 tahun, menimbulkan kebimbangan risiko komplikasi kesihatan jangka panjang.
- Obesiti, tabiat pemakanan tidak sihat, kurang aktiviti fizikal, penggunaan skrin berlebihan dan sejarah keluarga dikenal pasti sebagai faktor risiko utama.
- Pakar menyarankan saringan awal, pemakanan sihat, senaman teratur dan kawalan pengambilan gula untuk mencegah serta mengawal diabetes jenis 2 dalam kalangan kanak-kanak.
KUALA LUMPUR: Diabetes jenis 2 yang sebelum ini sering dikaitkan dengan golongan dewasa kini turut dikesan dalam kalangan remaja seawal usia 14 tahun, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko komplikasi kesihatan jangka panjang.
Pakar Perunding Kanak-Kanak dan Endokrinologi Kanak-Kanak Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Ch’ng Tong Wooi berkata diabetes jenis 2 yang berlaku pada usia remaja lazimnya lebih agresif berbanding penyakit sama yang menyerang individu dewasa.
“Keadaan ini membimbangkan kerana remaja yang menghidap penyakit berkenaan berkemungkinan perlu hidup dengan diabetes selama beberapa dekad, sekali gus meningkatkan risiko mengalami penyakit buah pinggang, penyakit jantung, kerosakan saraf dan kehilangan penglihatan.
“Obesiti kekal sebagai antara faktor risiko utama diabetes jenis 2 dalam kalangan remaja, selain tabiat pemakanan tidak sihat, kurang aktiviti fizikal, penggunaan skrin secara berlebihan dan sejarah keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Menurut data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024, dua daripada tiga remaja mengambil lebih 7.5 sudu teh gula bebas setiap hari, melebihi had maksimum enam sudu teh yang disarankan.
Sejarah keluarga turut memainkan peranan penting, dengan satu kajian mendapati hampir 59.6 peratus remaja yang menghidap diabetes jenis 2 mempunyai ibu bapa atau adik-beradik yang menghidap penyakit sama manakala hampir 89 peratus mempunyai datuk atau nenek yang turut menghidap diabetes.
“Sesetengah remaja yang kelihatan sihat mungkin berisiko sekiranya mempunyai sejarah keluarga atau faktor risiko metabolik yang lain. Dengan itu, adalah penting untuk berjumpa doktor dengan segera,” katanya.
Ibu bapa juga perlu peka terhadap tanda awal diabetes termasuk kerap dahaga dan kencing, sentiasa lapar, keletihan tanpa sebab yang jelas, penglihatan kabur serta jangkitan kulit berulang.
Beliau berkata satu lagi tanda yang sering terlepas pandang ialah acanthosis nigricans, iaitu tompokan kulit gelap seperti baldu pada bahagian leher, ketiak atau pangkal paha yang sering disalah anggap sebagai kotoran, sedangkan keadaan itu boleh menjadi petunjuk rintangan insulin.
Menurut Ch’ng, kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti serta faktor risiko berkaitan perlu menjalani saringan diabetes seawal usia 10 tahun atau selepas mencapai akil baligh, dengan pemeriksaan berkala sekiranya risiko berterusan.
“Walaupun ubat makan seperti metformin adalah rawatan baris pertama, selain pilihan baharu seperti ubat agonis reseptor GLP-1 yang kini turut diluluskan untuk pesakit muda, ia perlu digabungkan dengan pemakanan sihat, senaman teratur dan sokongan gaya hidup untuk mengawal paras gula serta mengelakkan komplikasi jangka panjang,” katanya.
Beliau menyarankan ibu bapa menyediakan lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin dan kekacang dalam pemakanan harian anak-anak serta mengurangkan pengambilan gula dan makanan terproses, selain menggalakkan mereka melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 60 minit sehari, mengehadkan masa skrin serta mendapatkan tidur yang mencukupi.
-- BERNAMA