KUALA TERENGGANU: Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) mengumumkan pelantikan Muhtar Suhaili sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan yang baharu berkuat kuasa pada 17 April, 2024.

Dalam kenyataannya hari ini, EPIC berkata pelantikan Muhtar yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan itu adalah bagi menggantikan Ridzuan Ali yang tamat perkhidmatan pada 16 April, 2024.

"Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di Curtin University di Australia dan memperoleh Ijazah Sarjana Teknologi Petroleum," kata kenyataan itu.

Sebelum menyertai EPIC, Muhtar pernah berkhidmat selama 15 tahun dengan syarikat minyak global, Shell dan seterusnya Perodua Auto Corporation Sdn Bhd; menjadi Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia dan dilantik sebagai Pegawai Eksekutif Majlis Kayu-kayan Malaysia pada Disember 2022.

Selain pengalaman kerja di Malaysia dan luar negara iaitu di Belanda dan Jerman, beliau juga mendapat pendedahan meluas hasil daripada lawatan ke 39 negara.

"Misi beliau adalah untuk menjana pertumbuhan perniagaan syarikat di samping memperkasa sumber tenaga modal insan dengan memanfaatkan kepakaran dan rangkaian beliau di sektor minyak dan gas," katanya.

Dalam pada itu, EPIC berkata Muhtar berhasrat menggunakan pengalaman mengendalikan pelbagai projek mega dan pengurusan kontrak perniagaan di peringkat tempatan dan luar negara untuk memacu EPIC ke tahap kejayaan lebih tinggi.

"Menerusi pengalaman dan kepakaran yang luas, Kumpulan EPIC yakin di bawah pimpinan Muhtar, ia mampu untuk terus meningkatkan prestasinya dalam membangunkan syarikat sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan Terengganu," katanya.

-- BERNAMA