KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) mencadangkan agar kerajaan Kemboja menubuhkan zon pelaburan khas Kemboja-Malaysia yang memfokuskan kepada industri pertumbuhan tinggi, teknologi tinggi (HGHT).

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, langkah itu boleh memberi peluang untuk Malaysia meningkatkan pelaburan di Kemboja.

"Zon pelaburan khas ini boleh berfungsi sebagai infrastruktur pembentukan semula dengan rangkaian Wi-fi dan komunikasi tersedia.

"Pada saya, ini penting kerana dengan adanya HGHT, zon itu boleh membantu ekonomi (kedua-dua negara) untuk berkembang lebih pantas," katanya dalam ucapan khasnya pada Forum Perniagaan Kemboja-Malaysia 2024, di sini, pada Selasa.

Turut hadir pada forum itu ialah Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Soh berkata, NCCIM boleh membantu Kemboja dalam sektor makanan halal selepas Malaysia memulakan rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas dengan Emiriah Arab Bersatu tahun lepas.

"Pengguna halal merangkumi kira-kira 25 peratus daripada populasi dunia. Jika kita benar-benar boleh membantu (Kemboja) dalam pemprosesan makanan halal atau ekosistem halal, kita akan menjadi masa depan," katanya.

Sementara itu, Soh melahirkan keyakinan bahawa Malaysia dan Kemboja dapat mengukuhkan lagi aktiviti perdagangan, memandangkan banyak perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua negara sejak beberapa dekad lalu.

"Kami berharap untuk dapat mengembangkan industri di kedua-dua negara dan berkongsi kekayaan secara bersama-sama," katanya.

Kemboja adalah salah satu negara terawal menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada tahun 1957 dan pada tahun 2023, ia disenaraikan sebagai rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di rantau Asean.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja berjumlah RM3.02 bilion, dengan eksport dari Malaysia ke Kemboja bernilai RM2.35 bilion, meningkat 1.6 peratus dari tahun sebelumnya.

Syarikat Malaysia telah melaksanakan 162 projek di Kemboja dengan pelaburan berjumlah RM14.4 bilion.
- BERNAMA