Pihak berkuasa Pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA) akan beralih tumpuan kepada sektor pelancongan bagi mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan menarik pelaburan dalam usaha untuk merealisasikan sasaran pelaburan RM10 bilion, selain sektor pembuatan dan pertanian.

"Pembuatan dan pertanian merupakan pemacu angka pelaburan untuk Koridor Utara, namun dalam perancangan tahun ini, akan berlaku anjakan kepada sektor pelancongan, bukan sahaja dalam bidang perhotelan, malah bidang baharu yang boleh mewujudkan peluang secara lebih mampan," kata Datuk Redza Rafiq, Ketua Pegawai Eksekutif NCIA pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata lebih banyak aktiviti pelancongan akan diwujudkan di Langkawi dan kawasan tumpuan pelancong di Pulau Pinang, selain kawasan baharu di Taiping dan hutan hujan tropika Belum-Temenggor.

Taiping akan menerima RM183 juta untuk inisiatif pelancongan tahun ini sehingga akhir tahun depan manakala Belum akan menerima RM4.39 juta bagi membangunkan kem asas baharu serta ponton yang akan menambah kecergasan kepada lokasi dan lebih banyak peluang secara lebih lestari.

Koridor Utara yang dilancarkan pada tahun 2007 sebagai inisiatif pembangunan ekonomi dan sosial di Utara Semenanjung Malaysia, meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak.

Pelaksanaannya kini memasuki pembangunan fasa kedua tahun pertama yang berlanjutan hingga 2020.

Turut hadir tiga daripada empat syarikat yang baru-baru ini menandatangani memorandum perjanjian dengan NCIA bernilai RM1.96 bilion untuk usaha sama perniagaan dan projek dalam setiap negeri terbabit.

Syarikat berkenaan ialah UWC Industrial Sdn Bhd, JPB Asia Pacific Sdn Bhd dan Seri Chenang Resort & Spa Langkawi.

Sebuah lagi syarikat ialah Unifortune Holdings Sdn Bhd. Kira-kira 3,650 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan.