KUALA LUMPUR : Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Selasa berikutan penyusutan dalam pasaran minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

Peniaga minyak sawit, David Ng berkata, jangkaan pengeluaran MSM meningkat pada minggu-minggu akan datang turut memberi tekanan kepada penurunan harga. 

“Kami mengesan paras sokongan pada RM4,000 satu tan dan paras halangan pada RM4,350 satu tan,” katanya memetik laporan Bernama.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, niaga hadapan olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) di Bursa Komoditi Dalian turut rendah pada waktu Asia.

“Dari segi destinasi eksport, negara-negara seperti China, Pakistan, Bangladesh, Amerika Syarikat, Timur Tengah dan Afrika - perlahan dalam aktiviti belian minyak sawit,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak Mac 2023 turun RM71 kepada RM4,113 satu tan, April 2023 berkurangan RM90 kepada RM4,129 satu tan dan Mei 2023 susut RM83 kepada RM4,142 satu tan.

Jun 2023 merosot RM81 kepada RM4,127 satu tan, Julai 2023 turun RM73 kepada RM4,099 satu tan dan Ogos susut RM72 kepada RM4,058 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 53,704 lot daripada 52,590 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka naik kepada 165,551 kontrak daripada 165,425 kontrak sebelum ni.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan merosot RM60 kepada RM4,170 satu tan. - BERNAMA