KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) melantik Datuk Nik Airina Nik Jaffar selaku Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 1 Mei 2023.

Beliau memiliki pengalaman luas dalam industri lebuh raya dan pernah berkdimat dengan PLUS selama 10 tahun dari 2001 dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi pada 2006.

Pada 2010, beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Opus Group Berhad dan kini merupakan Pengarah Urusan UEM Builders Berhad serta Pengarah Projek Khas dan Kewangan Korporat di UEM Group.

Nik Airina mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri infrastruktur pengangkutan dan penjagaan kesihatan, setelah terlibat dalam pembangunan, pelaksanaan dan operasi projek infrastruktur utama di rantau ini.

Beberapa projek utama yang pernah diceburinya termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Projek Sambungan LRT dan Lebuhraya Cikopo-Palimanan di Indonesia

Pengerusi PLUS, datuk Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, pihaknya yakin dengan pengalam yang dimiliki Nik Airina dalam menerajui pelbagai perniagaan dalam operasi rangkaian lebuh raya serta pengurusan aset.

"Kami yakin beliau akan terus mengemudi PLUS dalam mencapai matlamat dan objektifnya, antaranya adalah untuk memastikan kemampanan perniagaan jangka panjang, pengurusan pihak berkepentingan strategik dan operasi dan tahap perkhidmatan yang cekap untuk pengguna kami," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Nik Airina merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Awam dari University of Miami, Florida dan kini menganggotai lembaga Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). - DagangNews.com