KUALA LUMPUR: Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang akan dilancarkan Ogos ini akan memanfaatkan pasaran kenderaan elektrik (EV) ASEAN bernilai US$2.7 bilion (US$1=RM4.66), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata cadangan Chery Malaysia untuk menyuntik modal permulaan sebanyak RM170 juta sebagai strategi pengembangannya di sini bukan sahaja menawarkan kepelbagaian dan keterujaan kepada pasaran auto tempatan, malah menyokong pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menerusi pertumbuhan sektor strategik.

Sebagai antara strategi pengembangannya, pengeluar kereta milik kerajaan China itu semalam mengumumkan suntikan berjumlah RM170 juta untuk pengembangannya di Malaysia, yang bakal menyediakan 4,000 pekerjaan bergaji tinggi dan berkemahiran tinggi kepada rakyat Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Pengelektrikan besar-besaran daripada sektor automotif amat sesuai dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara dan sifar bersih dari perspektif industri pembuatan. Sehubungan itu, kami telah mula memberi penekanan kepada penembusan EV yang lebih tinggi di negara ini.

"Memandangkan Malaysia adalah hab pembuatan elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, pembuat kereta seperti Chery boleh memanfaatkannya dengan mudah untuk membantu mengembangkan pengeluaran kenderaan generasi akan datang (NxGV) Malaysia," katanya semasa berucap pada pelancaran model Tiggo 8PRO dan Omoda 5 oleh Chery Malaysia di sini semalam.

Menurut Tengku Zafrul, Chery Malaysia turut menyasarkan pelancaran kedua-dua model EV dan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) untuk mencapai sekitar 20 peratus daripada bahagian pasaran EV di Malaysia seawal 2024 selain turut memperkenalkan model EV mampu miliknya pada masa akan datang.

"Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengalu-alukan semua inisiatif ini kerana sejajar dengan aspirasi negara untuk mencapai 15 peratus jumlah volum industri (TIV) bagi kenderaan yang dielektrikkan (EV dan hibrid) menjelang 2030 dan 38 peratus TIV pada 2040," katanya.


Tengku Zafrul berkata Malaysia memiliki industri automotif dinamik yang menyokong lebih 700,000 pekerja dalam ekosistemnya, menyumbang lebih 4.4 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia.

Sumbangannya kepada KDNK Malaysia mencatat kira-kira empat hingga lima peratus secara purata pada setiap tahun dan menyumbang RM64.5 bilion kepada KDNK negara pada 2022.

MITI menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan KDNK sektor ini kepada RM104.2 bilion menjelang 2030.

-- BERNAMA