KUALA LUMPUR: Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dilihat membuka ruang lebih besar untuk Malaysia memperkukuh sektor pembuatan sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara ke tahap lebih tinggi.
Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Profesor Ulung Datuk Rajah Rasiah berkata, kejayaan sebenar pelaksanaan NIMP bergantung kepada konsistensi dasar serta keupayaan negara melonjak ke segmen industri bernilai tambah tinggi.
Advertisement
Menurut beliau, Malaysia perlu memikirkan langkah strategik untuk bergerak ke tahap seterusnya dengan mengambil contoh negara yang telah berjaya dalam sektor tertentu.
“Taiwan misalnya unggul dalam industri semikonduktor, manakala China pula kini mendahului dalam kenderaan elektrik dengan kehadiran lebih 20 syarikat yang kompetitif seperti BYD, Nio dan Xpeng.
“Situasi ini menunjukkan negara yang berada di peringkat bawah masih mempunyai peluang untuk mengejar, kerana sudah ada model kejayaan di peringkat global,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan Malaysia tidak perlu meniru sepenuhnya pendekatan negara lain, sebaliknya menyesuaikan model tersebut mengikut struktur dan keperluan ekonomi tempatan.
Setiap sektor yang dipilih juga perlu dipacu dengan strategi yang selari dengan kekuatan sedia ada negara bagi memastikan impak yang lebih berkesan dan mampan.
Tambah beliau, dengan dasar yang jelas, pelaksanaan yang kukuh serta penggemblengan kepakaran yang tepat, Malaysia mempunyai potensi besar untuk mempercepat pembangunan industri dan bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.