Skip to main content

Dunia

Kiswah Kaabah: Hasil agung seni Islam dan kaligrafi Arab

81655798882_TBkiswah.jpg
Pada awal tahun 1448 Hijrah, Kaabah telah menerima Kiswah baharunya menerusi satu majlis penyerahan yang dikoordinasikan dengan teliti. - Gambar fail

MEKAH: Kiswah Kaabah merupakan satu bentuk ekspresi seni Islam yang luar biasa, memamerkan keindahan dan keanggunan kaligrafi Arab, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Dihiasi dengan ayat-ayat suci al-Quran dan ungkapan keimanan yang dipahat indah menggunakan seni khat Thuluth Jali, Kiswah mencerminkan antara tradisi budaya visual Islam yang paling halus.

Terkenal dengan komposisinya yang rumit, bentuk yang lancar serta kekayaan elemen dekoratif, seni khat yang istimewa ini sekian lama menjadi pilihan utama bagi menghiasi kelambu suci Kaabah.

Kehadiran warisan seni ini bukan sahaja terhad pada bahagian luar kelambu berkenaan.

Malah di bahagian dalam Kaabah, dindingnya turut dilitupi dengan fabrik hijau mewah yang disulam dengan ayat-ayat al-Quran serta doa dalam bentuk kaligrafi Thuluth, sekali gus mewujudkan suasana yang mencerminkan ketakwaan rohani dan ketukangan yang luar biasa.

Pada awal tahun 1448 Hijrah, Kaabah telah menerima Kiswah baharunya menerusi satu majlis penyerahan yang dikoordinasikan dengan teliti.

Dihasilkan oleh 150 pakar kraf tempatan Arab Saudi di Kompleks Raja Abdulaziz bagi Kiswah Kaabah, kelambu baharu itu disiapkan menerusi proses pembuatan sepanjang tahun yang menggabungkan kepakaran khusus, teknik canggih, serta penelitian yang rapi terhadap setiap perincian.

Kiswah baharu ini menonjolkan keharmonian antara seni Islam yang tulen dengan hasil kerja tangan moden Arab Saudi.

Komponen utamanya kekal berteraskan kaligrafi Arab -- sebuah simbol abadi kepada al-Quran, bahasa Arab, serta warisan peradaban Islam yang kaya.

-- BERNAMA-SPA

Must Watch Video

Advertisement