MIDF Research mengunjurkan indeks utama FBM KLCI akan berlegar pada paras 1,700 mata menjelang akhir tahun ini didorong keyakinan terhadap pemulihan ekonomi.

Firma itu secara dasarnya konsisten terhadap pemulihan ekonomi dan pasaran tahun ini, meskipun di sebalik pelaksanaan sekatan pergerakan dalam tempoh yang lebih lama.

Ini kerana, katanya, situasi yang dihadapi tahun ini adalah berbeza dan tidak seburuk 2020, disebabkan penemuan dan pelancaran vaksin COVID-19.

"Bagi kami, persoalannya adalah lebih kepada bila dan bukannya, adakah kita mampu pulih. Oleh itu, kami tidak mengubah sasaran akhir tahun KLCI. 

"Ini juga menjadi ukuran kami terhadap pilihan sektor dan saham yang akan mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi.

"Selain itu, kami turut melihat kenaikan harga komoditi yang akan memberi kelebihan kepada sektor berkaitan perladangan serta minyak dan gas (O&G)," katanya dalam nota kajian hari ini.

Malah, MIDF Research juga menyemak naik 3 sektor kepada 'positif'. Ia turut membuat satu perubahan penarafan dengan menyemak naik sektor media kepada 'positif' berbanding 'neutral' sebelum ini.

Sektor yang diberi penarafan 'positif' termasuklah automotif, perbankan, pembinaan, pengguna, penjagaan kesihatan, O&G, perladangan, teknologi, media dan produk perindustrian.

Bagi 'neutral' pula termasuklah sarung tangan getah, tenaga, hartanah, REIT, telekomunikasi, penerbangan, logistik dan pengangkutan.

"Memandangkan kami kekal optimis dengan prospek pemulihan ekonomi, kami mengekalkan kenyataan kami bahawa saham yang berkait dengan prestasi ekonomi akan mendapat lebih banyak kelebihan," jelasnya.

Melangkah ke 2022, firma itu berkata, ia masih tertakluk kepada situasi pandemik COVID-19 terutama apabila Malaysia beralih ke fasa endemik.

"Oleh itu, kami menjangkakan pemulihan ekonomi makro akhir tahun ini akan berterusan sehingga tahun hadapan," katanya.

Namun, tambahnya, ketidaktentuan luaran tidak dapat dielakkan yang kemungkinan akan mempengaruhi risiko penurunan pada 2022.

Ini terutamanya terdapat kemungkinan kenaikan kadar faedah (yang ketika dijadualkan pada 2023) oleh Rizab Persekutuan AS boleh menjejaskan pasaran.

"Keduanya, adalah situasi di China yang lebih sukar untuk menentukan potensi hasil jangka panjang," katanya.

Setakat ini, MIDF Research mengekalkan unjuran akhir tahun 2022 bagi KLCI sekitar 1,765 mata. 

Sementara itu, mengenai ringgit, firma tersebut menganggarkan ia mengukuh berbanding dolar AS didorong momentum pertumbuhan lebih baik akhir tahun ini dengan pembukaan semula ekonomi. 

Unit mata wang tempatan itu dilihat mengukuh kepada RM4.15 pada awal September dengan jangkaan prospek pertumbuhan bertambah baik. 

"Bagaimanapun, sokongan terhadap ringgit adalah terhad disebabkan beberapa dasar yang diperketatkan di negara-negara maju dan kebimbangan mengenai prospek pertumbuhan yang akan memacu permintaan tinggi bagi dolar AS.

"Antaranya, pengumuman Rizab Persekutuan AS baru-baru, telah menyebabkan ringgit kembali lemah dan ditutup pada RM4.19 berbanding dolar AS pada 22 September 2020," jelasnya.

Di sebalik kelemahan ringgit, MIDF Research mengekalkan jangkaannya bahawa mata wang itu akan mencatat prestasi yang lebih positif pada suku terakhir tahun ini. 

Prestasi ini didorong oleh pertumbuhan yang semakin baik, lebihan akaun semasa yang berterusan, peningkatan aliran masuk asing dan harga komoditi yang tinggi. 

"Untuk itu, kami menjangkakan ringgit akan mengukuh pada RM4.10 menjelang akhir tahun ini dan berlegar pada purata RM4.12 berbanding RM4.20 tahun lalu," katanya.

* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com