KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong mencadangkan agar kerajaan mengembalikan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang disifatkan sebagai efisen.

Membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, mekanisme pelaksanaan GST mungkin perlu diperbaiki termasuk mengurangkan jumlah cukai yang dikenakan.

"Kalau tak suka nama, tukarlah nama... pakailah apa nama (lain) dan lupakan kisah lama.

"Lima perkara yang telah saya cakap dulu... kita masih boleh bagi pemberian tunai, 'zero rated', kita boleh bagi pengecualian, kita turunkan daripada enam peratus kepada empat peratus, serta memperbaiki mekanisme untuk pulangan cukai.

"Saya rasa kita boleh buat... dan demi kepentingan negara, 'move on', bawa balik GST," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

GST kali pertama dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus.

Membahaskan lagi, beliau berkata ketiadaan GST menyebabkan cukai korporat Malaysia antara yang tertinggi di rantau ini berbanding negara-negara jiran, iaitu sebanyak 24 peratus.

Ujarnya, Singapura hanya merekodkan 17 peratus cukai korporat; Brunei (18.5 peratus); Kemboja (20 peratus); Vietnam (20 peratus); Thailand (20 peratus); serta Indonesia (21 peratus).

Justeru, beliau berkata kadar cukai korporat yang tinggi di negara ini menyebabkan syarikat-syarikat asing enggan membuka perniagaan di Malaysia, sebaliknya 'lari' ke negara lain.

"Malaysia akan menjadi negara yang kurang daya tarikan untuk syarikat gergasi antarabangsa menubuhkan ibu pejabat serantau di sini.

"Saya bagi contoh pada tahun 2016, Amerika Syarikat (AS) mempunyai cukai korporat sebanyak 25 peratus. Kini, cukai korporat AS pun hanya 21 peratus dan rendah daripada Malaysia.

"Dulu kita laksanakan GST supaya kita dapat turunkan lagi cukai korporat untuk menghampiri Singapura dan mampu bersaing dengan negara jiran untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan asing," ujar beliau.

Dalam masa yang sama, Ka Siong berkata keputusan kerajaan menaikkan cukai perkhidmatan daripada enam kepada lapan peratus dalam Belanjawan 2024 dijangka memberi kesan kepada peningkatan harga barangan.

"Misalnya, syarikat logistik akan dikenakan lapan peratus SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan). Sebelum ini, tidak ada, barangan yang dibawa sampai ke kedai... dan peningkatan kos akibat SST ini, siapa yang akan tanggung?

"Walaupun kerajaan umum syarikat logistik layak mendapat diesel subsidi tetapi SST lapan peratus tetap kena ditanggung oleh satu pihak, dan ia tidak lain tidak bukan ialah pengguna," katanya.