KUALA LUMPUR: Pecca Group Berhad membatalkan cadangan pengambilalihan 51% kepentingan ekuiti dalam Rentas Health Sdn Bhd dengan memeterai Perjanjian Pembatalan dan Pelepasan Bersama bagi meneroka kaedah kerjasama yang berbeza.

‘’Oleh itu, Perjanjian Jual Beli bertarikh 2 Ogos 2021 dibatalkan berkuatkuasa serta-merta,’’ kata syarikat itu dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Kumpulan menegaskan cadangan mempelbagaikan perniagaan penjagaan kesihatan tidak diteruskan setelah mengambil kira perniagaan penjagaan kesihatan sedia ada yang dijangka tidak akan menyumbang 25% atau lebih daripada aset bersih atau keuntungan bersih Kumpulan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Pecca akan terus memantau sumbangan perniagaan berkaitan penjagaan kesihatannya, kebanyakannya kini membabitkan pengeluaran pelitup muka perubatan, dan akan membuat pengumuman yang diperlukan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad apabila perniagaan serta kontrak baharu dikenal pasti.

Untuk rekod, pada 2 Ogos 2021, Pecca bercadang untuk mengambil alih 51% kepentingan ekuiti dalam syarikat pembekal peralatan perlindungan diri (PPE), Rentas Health membabitkan nilai RM100 juta.

Pengambilalihan ini dimuktamadkan menerusi gabungan dana tunai dan saham Pecca, yang mana kedua-dua pihak memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat.

Selaras dengan cadangan pengambilalihan, Kumpulan juga telah mencadangkan untuk mempelbagaikan perniagaan bagi meneroka perniagaan berkaitan penjagaan kesihatan.

Sehubungan itu, kata syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang terlibat terutamanya dalam reka bentuk dan pengeluaran upholsteri kulit kenderaan, Pecca telah mengubah suai strategi mempelbagaikan perniagaan penjagaan kesihatannya selepas berunding dengan pihak berkepentingannya.

Bagaimanapun, niat Kumpulan untuk kepelbagaian masih berterusan dan ia merancang untuk menggunakan kedudukan tunainya yang kukuh untuk mencari peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) atau usaha sama (JV) yang bersesuaian.

Pengarah Urusan Pecca Group, Datuk Teoh Hwa Cheng berkata, pelan mempelbagaikan perniagaan kekal menjadi langkah positif Pecca dalam usaha untuk mengelakkan Kumpulan daripada bergantung semata-mata kepada satu segmen perniagaan.

‘’Adalah menjadi keutamaan kepada kami untuk mencari sumber pendapatan selain daripada segmen automotif, dan kami akan meneroka cara yang lebih bermanfaat untuk bekerjasama dengan rakan kongsi kami.

‘’Apabila wujudnya sebarang peluang baharu, Lembaga Pengarah juga akan mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pemegang saham jika ia diperlukan,” ujarnya.

Sehingga 30 Jun 2021 kata beliau, pegangan tunai Pecca bersamaan RM78.13 juta dan tidak memiliki pinjaman.

‘’Kumpulan merancang menggunakan tunai menerusi usaha pertambahan nilai dan meneroka peluang penggabungan & pengambilalihan atau usaha sama yang bersesuaian yang mampu meningkatkan kedudukan pendapatan Kumpulan pada masa hadapan,” tambahnya.

Dengan permodalan pasaran kira-kira RM600 juta, Pecca terlibat terutamanya dalam pengeluaran upholsteri kulit bagi sarung tempat duduk kereta dan pembekalan potongan kulit untuk industri upholsteri kulit automotif.

Ia merupakan pemain upholsteri kulit automotif terbesar dalam segmen kenderaan penumpang OEM serta pemeriksaan pra-penghantaran (PDI) Malaysia.

Kumpulan juga mengeksport produknya ke pasaran seperti Singapura, AS, Belanda, Australia, New Zealand, UK, Ireland dan China.

Pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 (TK21), pendapatan dan keuntungan selepas cukai (PAT) Pecca, masing-masing mencecah paras tertingginya.

Pendapatan TK21 menokok sebanyak 38.3% tahun-ke-tahun (y-o-y) kepada RM144.75 juta, manakala PAT melonjak sebanyak 2.3 kali ganda y-o-y kepada RM19.22 juta.

Pendapatan lebih kukuh ini terutamanya disebabkan sumbangan yang lebih baik daripada segmen automotif, khususnya membabitkan jualan sarung tempat duduk kereta OEM yang lebih tinggi.

* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.