WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa negara dan institusi yang membeli minyak Iran boleh dikenakan sekatan, sambil menyatakan keyakinan bahawa China akan menggantung pembelian tersebut ketika Washington menguatkuasakan sekatan maritim terhadap Iran.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, berkata kerajaan AS telah memaklumkan kepada beberapa negara bahawa pembelian minyak Iran dan urus niaga kewangan berkaitan boleh mencetuskan tindakan sekatan sekunder.
Advertisement
“Kami telah memberitahu negara-negara bahawa jika anda membeli minyak Iran, dan wang Iran berada dalam bank anda, kami kini bersedia untuk mengenakan sekatan sekunder,” kata Bessent kepada wartawan di White House.
Sekatan maritim AS terhadap Iran bermula pada Isnin lalu, ketika peperangan Washington dengan Tehran memasuki minggu ketujuh.
Langkah itu bertujuan menyekat eksport minyak Iran, yang merupakan sumber pendapatan utama negara tersebut.
China sebelum ini membeli lebih 80 peratus minyak Iran yang dihantar melalui laut.
Namun, Bessent berkata Washington menjangkakan pembelian itu akan terhenti susulan tindakan sekatan yang diperketatkan.
“Kami percaya bahawa dengan sekatan maritim ini, akan berlaku jeda dalam pembelian oleh China,” katanya.
Selain itu, Perbendaharaan AS juga telah menghubungi dua buah bank China bagi memberi amaran mengenai kemungkinan tindakan lanjut.
Menurut Bessent, kerajaan AS telah memaklumkan kepada institusi tersebut bahawa sekatan sekunder akan dikenakan sekiranya terdapat bukti aliran dana Iran melalui akaun mereka.
“Kami telah menulis kepada dua bank China dan memaklumkan bahawa jika kami dapat membuktikan wang Iran mengalir melalui akaun anda, maka kami bersedia untuk mengenakan sekatan sekunder,” katanya.
Ancaman sekatan terbaharu ini mencerminkan pendirian tegas Washington untuk meningkatkan tekanan ekonomi ke atas Tehran, ketika ketegangan geopolitik terus meningkat dan konflik antara kedua-dua negara belum menunjukkan tanda-tanda mereda.
Setakat ini, China dan Iran belum mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai tindak balas terhadap kenyataan Perbendaharaan AS itu.