KUALA LUMPUR: Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menaikkan bilangan permit import (AP) kenderaan terpakai.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata pihaknya meminta kenaikan daripada 35,000 kepada 50,000 unit setahun, dengan mengekalkan fi import sebanyak RM10,000 setiap unit.

Beliau berkata, peningkatan kenderaan import akan membawa faedah kepada semua pihak yang terlibat dalam industri berkenaan dan industri hiliran.

Nazari  yakin langkah tersebut akan dapat menambah penjanaan ekonomi melebihi RM2 bilion setiap tahun yang disumbangkan oleh industri kenderaan import.

"Selain itu ia juga mendatangkan hasil fi import kenderaan kepada MITI, manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula akan dapat kutipan hasil daripada duti import, duti eksais dan cukai jualan.

"Ia juga akan menjana pendapatan kepada industri lain yang terlibat seperti perbankan, insurans, waranti kenderaan dan lain-lain.

“Saya amat berharap agar MITI dapat meluluskan permohonan ini agar dapat  memberi ruang yang lebih besar bagi pertumbuhan dalam pasaran kenderaan negara kereta," katanya.

Nazari berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan Pekema KE-42 yang berlangsung di KLCC, di sini, pada Sabtu.

Majlis perasmian mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Nazari berkata, dasar kerajaan memperkenalkan Dasar AP Terbuka telah meningkatkan jumlah pemegang AP daripada 100 syarikat kepada 300 syarikat sehingga kini.

Oleh itu, katanya peruntukan AP sebanyak 35,000 setahun ketika ini adalah tidak mencukupi untuk diguna pakai oleh keseluruhan ahli Pekema.

"Dari segi peratusan jualan ia hanya 6.8% daripada TIV sebanyak 725,000 oleh MAA untuk tahun 2023. Selain daripada itu tidak semua kenderaan ahli Pekema dapat dijual pada tahun kemasukan kenderaan tersebut," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pihaknya akan membuat penilaian berdasarkan data terkini bersama Pekema dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi tujuan tersebut.

“Had kepada 50,000 unit dimohon kerana tahap yang ada sekarang iaitu 35,000 unit sudah lebih 30 tahun dan tidak memberi gambaran apa yang telah berlaku dalam masa tahun ini.

“Kementerian akan memperhalusi dan akan bekerjasama dengan Pekema untuk mencari asas justifikasi kenapa tahap ini perlu dilihat semula,” ujarnya.

Dalam pada itu, pada mesyuarat berkenaan, Datuk Zainuddin Abd Rahman yang telah memimpin Pekema lebih dari satu dekad mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada jawatan Presiden Pekema.

"Keputusan ini dibuat demi membuka peluang kepada pemimpin baharu untuk mengambil alih tampuk kepemimpinan dalam persatuan ini," katanya.