KUALA LUMPUR: Pelabur asing meneruskan aliran belian mereka di Bursa Malaysia bagi minggu keenam berturut-turut dengan aliran masuk berjumlah RM52.7 juta pada minggu lepas.

Dalam Laporan Aliran Dana untuk minggu berakhir 18 Ogos, MIDF Research menjelaskan pembelian bersih berlaku dari Isnin hingga Rabu, dengan Rabu merekodkan aliran masuk asing bersih tertinggi sebanyak RM106.4 juta.

"Walau bagaimanapun, pelabur asing berubah menjadi penjual bersih pada akhir minggu dagangan, kemungkinan disebabkan dua data ekonomi yang lemah minggu lepas," tambahnya.

Jumaat lepas, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri melaporkan jumlah eksport Malaysia pada Julai susut 13.1 peratus tahun ke tahun kepada RM116.75 bilion, manakala jumlah import berkurangan 15.9 peratus tahun ke tahun kepada RM99.66 bilion.

Sementara itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023 Malaysia berkembang 2.9 peratus tahun ke tahun, iaitu kadar yang lebih perlahan berbanding jangkaan.

Bagi 2023 setakat ini, MIDF Research memaklumkan bahawa pelabur asing telah menjadi penjual bersih ekuiti domestik dengan mencatatkan RM2.41 bilion.

"Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk asing bersih adalah hartanah (RM165.3 juta), teknologi (RM27.4 juta) dan perladangan (RM23.9 juta).

"Sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih adalah produk dan perkhidmatan perindustrian (-RM106.5 juta), penjagaan kesihatan (-RM49.6 juta) dan amanah pelaburan hartanah (-RM27.1 juta)," menurutnya.

Pada masa sama, pelabur daripada kalangan institusi tempatan berubah menjadi pembeli bersih dengan sebanyak RM76.1 juta selepas jualan bersih selama lima minggu lepas.

MIDF Research menjelaskan bagi 2023 setakat ini, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih dengan jumlah RM2.76 bilion.

Sebaliknya, peruncit tempatan kekal sebagai penjual bersih bagi minggu keenam berturut-turut, menjual ekuiti domestik bernilai RM128.8 juta minggu lepas.

"Bagi tahun ini setakat ini, peruncit tempatan telah menjadi penjual bersih dengan sebanyak RM348.9 juta," tambahnya.

Dari segi penyertaan, volum dagangan harian purata telah meningkat secara menyeluruh -- pelabur runcit pada +24.9 peratus, institusi tempatan pada +28.2 peratus dan pelabur asing pada +11.9 peratus.

-- BERNAMA