Walaupun pasaran hartanah Malaysia dijangka akan lebih mencabar dengan kadar aktiviti jual beli yang sederhana tahun ini, namun ini merupakan masa yang baik bagi pelabur untuk membuat pelaburan dalam sektor itu.

Menurut pengerusi eksekutif syarikat perunding hartanah, Rahim & Co., Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman, bagi pelabur hartanah yang mempunyai modal, mereka disaran melakukan lebih banyak pelaburan dan mengelak dari bersikap 'tunggu dan lihat'.

Jelasnya, ini kerana keadaan ekonomi ketika ini memberi beberapa kelebihan kepada pelabur tempatan dan juga asing untuk lebih aktif melabur dalam pasaran hartanah negara.

BACA: 5 perkara anda perlu tahu tentang pasaran hartanah Malaysia tahun ini

"Bagi pelabur tempatan, apa yang dapat saya katakan ketika ini adalah harga rumah tidak akan naik untuk beberapa tempoh dan sekiranya ia naik, ia akan meningkat secara perlahan.

"Tambahan pula, jika dibandingkan dengan pasaran hartanah di bandar-bandar besar di dunia, pasaran negara ini jauh lebih murah. Walaupun mungkin pulangan hanyalah tiga ke empat peratus jika ia disewakan, prospek peningkatan modal tetap ada," katanya dalam temubual ekslusif bersama Astro AWANI pada pembentangan unjuran pasaran hartanah Malaysia baru-baru ini dekat sini.

Abdul Rahim berkata, bagi pelabur asing sudah tentu merekalah yang akan memperoleh manfaat daripada nilai matawang ringgit yang rendah.

"Bayangkan warga Singapura yang ingin membeli hartanah pada nilai RM1 juta di Malaysia, hanya perlu mengeluarkan modal sebanyak $300 ribu duit mereka, harga yang mustahil untuk mereka peroleh di negara sendiri. Perkara yang sama juga bagi pelabur dari negara lain seperti Amerika Syarikat, China, Eropah dan lain-lain kerana mempunyai kelebihan dari segi nilai matawang," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pemaju hartanah menjalankan lebih banyak kempen bagi menarik pelabur untuk melabur di negara ini.

Pelabur disaran raih peluang dalam hartanah Malaysia