ALOR SETAR: Kedah Aerotropolis terus mendapat kepercayaan pelabur antarabangsa apabila memeterai kerjasama baharu dengan pelabur dari Itali.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, terbaharu Kedah Aerotropolis menjalin kerjasama dengan Enav Group, yang merupakan perusahaan memfokus kepada penyediaan layanan navigasi udara dan pengurusan lalu lintas udara.

Menurutnya, syarikat terbabit akan menyediakan latihan, pemindahan teknologi, peralatan dan pendekatan terkini dalam industri penerbangan bagi merealisasikan Kedah Aerotropolis.

“Enav Group merupakan penyedia perkhidmatan utama navigasi udara di Itali dan Eropah, serta yang pertama di dunia mencapai 'Carbon Neutrality',” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Sanusi memaklumkan, kerjasama tersebut juga antaranya bertujuan untuk kebolehlaksanaan 'Digital Tower Technology ' untuk diaplikasikan di Kedah Aerotropolis, yang diyakini mampu mencapai 'Carbon Neutrality' kelak.

“Terima kasih kepada Enav Group kerana membuka pintu seluas-luasnya untuk bekerjasama dalam menjayakan impian Kedah ini.

“Syarikat ini memiliki pejabat di Kuala Lumpur dan telah pun menyediakan pelbagai perkhidmatan industri penerbangan di dunia termasuk negara kita,” ujarnya.

Menurutnya, diharap syarikat ini dapat menawarkan apa yang diperlukan oleh Kedah Aerotropolis memandangkan ia merupakan kerjasama strategik dalam industri penerbangan.

Sebelum itu, Sanusi menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kedah Aerotropolis dengan Enav Group di ibu pejabat Enav, di Salaria, Rome, Itali.

Dalam lawatan kerja ke Itali, Sanusi dan delegasi Kedah turut dibawa melawat ke pusat kawalan Lapangan Terbang Leonardo Da Vinci - Fiumicino yang mengendalikan 760 pesawat sehari, yang mana pengendalian pesawat meningkat kepada 840 buah menjelang Krismas.

Pada November lalu, Kedah Aerotropolis Holdings yang merupakan Syarikat Bertujuan Khas (SPV) ditubuhkan antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan Tahira Air Sdn Bhd bagi membangunkan Kedah Aerotropolis.

Kedah Aerotropolis telah diberikan kelulusan bagi membangunkan tiga komponen dalam fasa pertama, iaitu Pusat Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO), Sidam Logistics, Aerospace dan Manufacturing Hub (SLAM) selain taman perindustrian dan perniagaan.

Sementara pembinaan untuk Airport City atau terminal lapangan terbang masih dalam pengurusan membabitkan aspek teknikal.

Sebelum ini, Kedah Aerotropolis telah mengadakan MoU bersama enam buah syarikat antarabangsa berkaitan MRO pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA23), Mei lalu.

Sebuah MoU turut ditandatangani bersama Lapangan Terbang Zhengzhou di wilayah Henan, China, yang merupakan zon ekonomi yang membangun kerana adanya lapangan terbang yang memfokuskan kepada MRO dan kargo.

https://www.sinarharian.com.my/article/638803/edisi/utara/pelabur-itali-jalin-kerjasama-jayakan-kedah-aerotropolis