Pelabur Malaysia harus mempertimbangkan untuk mengembangkan portfolio pelaburan mereka ke dalam sektor pembuatan Indonesia dan membangunkan kelompok industri, kata bekas Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Prof Emeritus Dorodjatun Kuntjoro-Jakti.

Pelaburan Malaysia pada masa sekarang hanya tertumpu dalam sektor perladangan dan pengembangan pelaburan akan meningkatkan lagi hubungan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara, kata beliau kepada pemberita semasa Forum Hal Ehwal Antarabangsa Malaysia Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini hari ini.

Terdahulu, Dorodjatun telah membentangkan kertas kerja bertajuk "A Conjecture on the Way Forward of Malaysia-Indonesia Economic Relations".

Beliau juga menyentuh mengenai kekurangan penyertaan sektor swasta antara kedua-dua negara.

"Malaysia perlu melangkaui perladangan... buat penerokaan ke dalam pembuatan. Tetapi sekali lagi, apa lagi yang boleh menjadi tarikan jika kita semua berusaha mewujudkan satu kelompok perindustrian, yang mungkin menyamai saiz zon ekonomi di China.

"Dengan kelompok itu, anda akan mempunyai ruang yang luas di mana anda akan mempunyai keupayaan perniagaan kepada perniagaan Malaysia-Indonesia dalam membina industri pembuatan yang mengeluarkan produk yang diperlukan dunia.

"Kita juga hidup di sebelah pasaran yang besar. India akan mempunyai penduduk teramai menjelang 2050," katanya.

Sementara itu, Dorodjatun berkata Malaysia akan dapat membendung perangkap pendapatan sederhana dalam lima atau enam tahun akan datang selepas dasar-dasar yang sedang dilaksanakan, bergerak ke arah yang betul.

"Dengan pendapatan per kapita sebanyak US$8,000, dalam beberapa tahun anda akan dapat keluar daripada perangkap pendapatan sederhana. Apabila anda menghadapi masalah sukar dalam ekonomi, anda memerlukan kombinasi yang sangat baik antara dasar fiskal dan kewangan. Kita panggil ini sebagai 'Wiggle Room'. Malaysia berada dalam keadaan yang selesa.

"Anda mungkin setanding dengan Korea Selatan dari segi keupayaan melepaskan diri jika anda berhadapan dengan krisis kewangan global sekali lagi. Mudah-mudahan ini tidak lagi berulang," katanya.

-- BERNAMA