KUALA LUMPUR: Pelaburan berkaitan digital di Malaysia berjumlah RM110 bilion, hampir dua kali ganda melebihi sasaran di bawah inisiatif Pelan Tindakan Digital Malaysia (MyDigital), kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) Mahadhir Aziz.

Beliau berkata faktor seperti kerajaan Singapura mengenakan moratorium dalam penubuhan pusat data baharu dan pelaburan pusat data beralih ke Malaysia telah membantu negara mencapai sasaran MyDigital RM70 bilion lebih awal daripada tahun 2025.

"Cadangan untuk meningkatkan sasaran keseluruhan jangka panjang daripada RM70 bilion kepada RM130 bilion telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia diperingkat cadangan, ia masih belum dimuktamadkan...sasarannya adalah bagus," katanya pada perhimpunan media Ekspo Digital Malaysia (MDX) 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata aspirasi MDEC adalah untuk Malaysia menjadi pusat digital di ASEAN dan dikenali sebagai "harimau digital" (digital tiger) Asia.

Susulan misi pelaburan dan eksport MDEC dengan Kementerian Komunikasi dan Digital ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, Mahadhir berkata perbincangan dengan syarikat gergasi hartanah UAE, Damac Group, masih di peringkat awal kerana kumpulan itu sedang meneroka peluang untuk melabur dalam perniagaan pusat data di rantau ini.

"Disebabkan hubungan baik antara Malaysia dan UAE...Malaysia adalah lokasi terbaik untuk DAMAC pertimbangkan. Mereka sedang melihat beberapa lokasi di Malaysia.

"Saya berpendapat bagi sebarang pelaburan, sama ada perbelanjaan kecil berbanding pelaburan pusat data besar, ia akan mengambil masa antara satu hingga tiga tahun untuk direalisasikan," katanya.

The MDX 2023 Grand Finale akan diadakan dari 6 hingga 8 November 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, ia menganjurkan sesi perbincangan panel antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Ketua Go-to-Market OpenAI Zack Kass serta penyertaan 45 penceramah terkemuka lain.

-- BERNAMA