KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya meraih pelaburan bernilai RM329.5 bilion tahun lepas, yang tertinggi sejak penubuhan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 1967, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Arham Abdul Rahman yang bersara hari ini.

Arham, yang dilantik menerajui agensi itu pada April 2021, berkata ia sememangnya satu kejayaan yang luar biasa bagi negara dalam menarik pelaburan asing dan domestik serta mencapai kedudukan yang menggalakkan dalam Indeks Peluang Global (GOI) 2024 daripada Milken Institute iaitu badan pemikir ekonomi Amerika Syarikat bulan lepas.

"Kejayaan ini adalah bukti usaha kolektif kami. Bukan sahaja MITI dan MIDA, tetapi ini adalah untuk seluruh negara dan juga pendekatan dan inisiatif daripada kerajaan yang melibatkan kementerian dan agensi lain," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini hari ini.

Ketua pegawai eksekutif yang berusia 61 tahun itu, dan telah berkhidmat dengan MIDA selama 34 tahun dan lapan bulan, turut mengingatkan bahawa semua pihak tidak seharusnya berpuas hati dalam meningkatkan usaha untuk mempromosi daya tarikan Malaysia kerana negara-negara jiran lain turut mengintai sebahagian daripada 'kek pelaburan'.

"Walaupun kita telah mencapai rekod yang baik dari segi pelaburan yang diperoleh terutamanya pada tahun 2023, nasihat saya ialah kita jangan leka kerana masih banyak kerja yang perlu dilakukan," tambahnya.



Penciptaan pekerjaan, daya tahan ekonomi

Mengenai pencapaian objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Arham berkata profil pelaburan telah bergerak ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan berfokuskan inovasi. Malaysia pula sangat fokus untuk menarik pelaburan yang berkualiti.

Beliau berkata ini adalah untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada penciptaan pekerjaan dan menghasilkan daya tahan ekonomi yang menjamin masa depan.

"Malaysia tidak lagi bergantung kepada pelaburan yang menghasilkan kemahiran rendah, dan berintensifkan buruh tetapi lebih menumpukan kepada pelaburan berintensifkan modal, pengetahuan dan teknologi untuk mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi, berkualiti tinggi dan menyumbang kepada pelaburan mampan sejajar dengan objektif Net-Zero.

"Pelaburan berkualiti akan merangsang landskap pelaburan domestik melalui pemindahan pengetahuan dan teknologi," tambahnya.

Sehubungan itu, Arham berkata MIDA akan terus menarik projek-projek strategik yang disasarkan dengan insentif di bawah Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI) untuk membangunkan bakat tempatan melalui program latihan dan membangunkan vendor tempatan melalui Program Pembangunan Vendor (VDP).

Beliau menekankan bahawa NIMP 2030 akan membimbing Malaysia dalam menarik pelaburan berkualiti dalam tempoh enam tahun akan datang, melengkapkan dasar-dasar negara yang lebih luas termasuk Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rangka Kerja Ekonomi MADANI.

Katanya pendekatan Malaysia dalam menyasarkan pelaburan asing setakat ini sangat berkesan bagi memaksimumkan faedah sambil mengurangkan potensi risiko.

"Ia membolehkan kami mencapai keseimbangan di antara keterbukaan kepada modal asing dan menjaga kepentingan negara, yang pada akhirnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif," katanya.

-- BERNAMA