Kuala Lumpur:
Pelaksanaan yang lemah dan kurangnya keberkesanan merupakan antara faktor kebanyakan sasaran Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) tidak mencapai sasaran yang diunjurkan.

Menurut Ketua Ekonomi EIS-UPMCS Centre for Future Labour Market Studies, Prof Madya Mohd Yusof Saari sasaran RMK-11 tidak dicapai meskipun faktor COVID-19 sudah diketepikan.

Tambahnya, ia berdasarkan Laporan Pencapaian Separuh Penggal RMK-11, yang menunjukkan kebanyakan agenda pelan pembangunan lima tahun negara itu tidak tercapai.

"Antara contoh, pampasan pekerja. Agenda ini digagaskan untuk mencapai paras 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun menerusi pencapaian separuh penggal pada 38 peratus, manakala pencapaian makroekonomi 2019 dan 2020 masing-masing berada pada 36 peratus dan 37 peratus.

"Begitu juga dengan beberapa agenda lain seperti KDNK, produktiviti buruh, pendapatan negara kasar (PNK) perkapita dan pendapatan bulanan purata isi rumah. Ia tidak mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sesi Pemulihan Dan Pembaharuan Ke Arah Kemampanan Makroekonomi bersempena program maya EU-ERA House of Scholar yang bertajuk 'RMKe-12: Ke manakah Hala Tuju Kita?' pada Isnin.

Turut sama dalam sesi itu adalah dua anggota panel iaitu Pensyarah International Centre for Education in Islamic Finance, Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid dan Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Asan Ali Golam Hassan.

Sementara itu, Baharom berkata, pencapaian RMK-11 setakat ini boleh dikatakan mencapai 75 hingga 80 peratus yang disasarkan dengan isu luaran menyebabkan pencapaian tersasar menyaksikan ada sasaran melepasi atau di bawah sasaran.

"Pembudayaan pengukuran perlu dilaksanakan dan dimaklumkan kepada rakyat. Kerajaan perlu umum pencapaian bagi setiap separuh tahun atau setiap tahun, peruntukan yang digunakan, kejayaan pencapaian produktiviti dan lain-lain.

"Langkah pengukuran ini akan meningkatkan tahap ketelusan, integriti serta semak dan imbang, selain menentukan mekanisme pengagihan yang berbeza," katanya.

Baharom berkata, RMK-11 sebelum ini sukar mencapai sasaran susulan kurangnya autonomi dalam aspek pelaksanaan.

"Rancangan Malaysia sebelum ini tiada autonomi dari negeri atau lokaliti untuk guna pakai kelebihan sumber yang dimiliki. Negeri walaupun memiliki sumber dan mampu membangunkan ekonomi sendiri, namun dasar ditentukan Persekutuan. Keputusan akhir masih di tangan 'tangan di atas'.

"Saya melihat keputusan perlu matang dari negeri dan lokaliti yang lebih berdaya maju. Negeri dan lokaliti harus mengeluarkan idea untuk menjana pendapatan sendiri, ruang sendiri dan peluang autonomi sendiri," katanya.

Asan Ali pula menjelaskan, pengumpulan maklumat sebelum dijadikan pelan jangka panjang perlu dibuat bermula daripada golongan sasar dan ia perlu berbalik kepada sumber yang ada dan dipengaruhi faktor demografi.