ARAU: Pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilihat sebagai langkah terbaik kerajaan dalam usaha mengembalikan dan menambah pendapatan negara ketika negara dalam fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022.

Pensyarah Kanan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis Prof Madya Azman Daim berkata pelaksanaan semula cukai tersebut adalah bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

"Kebaikan pelaksanaan GST ini membolehkan negara menjana pendapatan yang lebih stabil dan pengurusan cekap dan berkesan. GST dapat menangani masalah ekonomi masyarakat serta membendung kenaikan harga yang keterlaluan bagi sesetengah barangan keperluan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Azman berkata sebelum ini pelaksanaan GST ialah pada kadar enam peratus namun perlu direndahkan supaya rakyat tidak terbeban kerana terkesan akibat pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara khas bersama kumpulan media Nikkei Asia di Tokyo, Jepun baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara, dan kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan sistem percukaian itu sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara, bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri menjelaskan apa yang paling penting adalah, rakyat perlu difahamkan terlebih dahulu sekiranya kerajaan bercadang untuk memperkenalkan sebarang sistem percukaian baharu.

GST kali pertama dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus.

GST kemudiannya digantung pada 1 Jun, 2018 dan akhirnya dimansuhkan dan digantikan dengan SST bermula 1 September, 2018.

Di bawah SST, kadar cukai semasa untuk cukai jualan adalah antara lima peratus dan 10 peratus manakala kadar cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus.

-- BERNAMA