Airbus memeterai kerjasama dengan syarikat pembekal tempatan, SDMK Sdn Bhd untuk pembuatan komponen jig untuk pembaikan komposit kemudi pesawat.
Komponen itu akan digunakan oleh pesawat Airbus A320 dan A330.
Pembangunan kecekapan tenaga mahir untuk Airbus dan SDMK akan dijalankan oleh agensi kerajaan seperti Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Dari kiri: Pengurus Rangkaian dan Pembaikan Global Airbus Gonzalo Salazar, Yew Seik Wai, Zulfikri dan Samsul melihat komponen jig yang dipamerkan di kilang SDMK di Shah Alam. - Foto Astro AWANI
Ketua Pegawai Eksekutif AMIC Shamsul Kamar Abu Samah berkata, pusat inovasinya akan membantu membangunkan kepakaran menghasilkan bahagian dan komponen pesawat pada masa depan.
“Kami membangunkan kompetensi untuk (syarikat) Malaysia. Dengan bantuan Airbus, kita lakukan tooling yang mana ia merupakan aktiviti pembuatan paling rendah untuk pembuatan pesawat.
“Kami ingin membangunkan syarikat-syarikat ini untuk memajukan kecekapan mereka dengan harapan mereka boleh menghasilkan bahagian dan komponen pesawat satu hari nanti,” katanya selepas acara Conformity Inspection Review untuk jig pertama di kilang SDMK di sini pada Selasa.
Dalam pada itu Pengarah Bahagian Pelaburan dan Pembangunan Subsidiari Mara, Zulfikri Osman berpendapat, pemain industri besar seperti Airbus akan mampu membangunkan lebih banyak modal insan bertaraf antarabangsa.
“Untuk meningkatkan industri aeroangkasa, kita perlukan pemain yang besar seperti Airbus untuk membawa masuk aktiviti pembuatan. Kita perlu meyakinkan mereka bahawa Malaysia mempunyai keupayaan untuk menyokong perniagaan mereka.
“Dari pandangan Mara, untuk memastikan syarikat seperti Airbus kekal mampan, perkara utama kita perlu lihat adalah keupayaan modal insan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan SDMK Sdn Bhd Yew Seik Wai berkata, perkhidmatan pembuatan yang kompleks bukan hanya satu komponen pesawat yang perlukan kemahiran pembuatan tetapi ia memerlukan banyak sumber kejuruteraan.
Airbus menyasarkan kerjasama dengan SDMK akan meningkatkan lagi perkhidmatan seperti penyelenggaraan, pembaikan dan membaik pulih (MRO) dan kejuruteraan pesawat serantau.
Airbus sebelum ini melaporkan rantau Asia Pasifik akan menerima 12,000 pesawat baru dalam tempoh 20 tahun akan datang.