Skip to main content

Dunia

Rundingan damai: AS, Iran gagal capai persetujuan - Vance

Vice President JD Vance, right, speaks during a news conference after meeting with representatives from Pakistan and Iran as Jared Kushner, left, and Steve Witkoff, Special Envoy for Peace Missions listen on Sunday, April 12, 2026, in Islamabad, Pakistan. (AP Photo/Jacquelyn Martin, Pool)
Vance (kanan) bercakap semasa sidang media selepas bertemu wakil dari Pakistan dan Iran, sambil didengar oleh Jared Kushner (kiri) dan Steve Witkoff, Utusan Khas bagi Misi Keamanan. - Foto AP

ISLAMABAD: Amerika Syarikat (AS) dan Iran gagal mencapai sebarang persetujuan selepas lebih 21 jam rundingan damai bersejarah di Pakistan, dengan Washington mengumumkan akan meninggalkan negara itu selepas perbincangan berakhir tanpa kata sepakat.

Naib Presiden AS, JD Vance, berkata rundingan yang berlangsung secara intensif itu tidak menghasilkan perjanjian.

Advertisement

“Berita buruknya ialah kami tidak mencapai persetujuan,” katanya kepada pemberita pada Ahad, sambil memaklumkan delegasi AS kini merancang untuk meninggalkan Pakistan.

Vance menegaskan bahawa pihak AS hadir ke rundingan dengan sikap fleksibel dan “dengan niat baik”, namun Iran masih enggan menerima terma yang dikemukakan Washington.

“Kami tidak dapat sampai ke tahap di mana pihak Iran bersetuju dengan syarat-syarat kami,” katanya.

Beliau bagaimanapun memuji peranan Pakistan sebagai tuan rumah dan perantara, dengan menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri Pakistan serta Ketua Tentera Darat, Field Marshal Asim Munir.

“Apa jua kekurangan dalam rundingan ini bukan berpunca daripada pihak Pakistan, yang telah melakukan tugas dengan amat baik,” kata Vance.

Menurut Vance, AS kini meninggalkan Pakistan dengan apa yang disifatkannya sebagai tawaran terakhir.

“Ini adalah cadangan terbaik dan terakhir kami. Kita akan lihat sama ada pihak Iran akan menerimanya,” katanya.

Mengulas isu keselamatan utama, Vance berkata menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear merupakan matlamat teras Presiden Donald Trump.

“Kami memerlukan komitmen yang jelas bahawa Iran tidak akan mendapatkan senjata nuklear dan tidak akan membangunkan keupayaan untuk mencapainya dengan pantas,” katanya.

Walaupun mendakwa program nuklear Iran telah “dimusnahkan”, Vance menegaskan AS masih belum melihat “komitmen kehendak yang asas” daripada Tehran untuk tidak membangunkan senjata nuklear pada masa hadapan.

“Kami belum melihatnya lagi. Kami berharap akan melihatnya,” katanya.

Vance turut mengesahkan bahawa rundingan melibatkan pelbagai isu termasuk aset Iran yang dibekukan di luar negara, selain perkara lain yang lebih luas.

“Kami membincangkan semua isu itu, tetapi akhirnya kami gagal mencapai keadaan di mana Iran bersedia menerima terma kami,” katanya, sambil menegaskan AS telah bersikap “cukup fleksibel dan bertolak ansur”.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, dalam satu kenyataan sebelum ini menyifatkan rundingan tersebut sebagai “intensif”, tetapi menegaskan kejayaannya bergantung kepada kesungguhan dan niat baik pihak lawan.

Beliau menggesa AS supaya mengelakkan “tuntutan berlebihan dan tidak sah” serta menghormati hak dan kepentingan sah Iran.

Antara isu utama yang dibincangkan termasuk Selat Hormuz, program nuklear Iran dan usaha menamatkan perang secara menyeluruh.

Kenyataan bercanggah daripada Washington dan Tehran menunjukkan tahap ketidakpercayaan yang masih tinggi, walaupun rundingan itu dianggap sebagai usaha diplomatik paling signifikan antara kedua-dua negara dalam beberapa dekad terakhir.

Buat masa ini, masa depan gencatan senjata kekal tidak menentu.

 

 

Must Watch Video