KUALA LUMPUR: Tumpuan terhadap peluang pekerjaan berkualiti, pendidikan dan perubahan iklim akan membantu memacu ekonomi Malaysia ke hadapan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, rakyat Malaysia kini mendambakan kemajuan ekonomi yang lebih baik dan cepat.

Justeru, beliau berpandangan terdapat permintaan untuk pekerjaan bergaji tinggi, berkualiti dan bermaruah dalam sektor ekonomi moden yang semakin berkembang.

“Daripada automasi dan bidang kecerdasan buatan, kepada pembuatan kerepek, peluangnya sangat besar tetapi kita tidak boleh terus ketinggalan.

“Dalam konteks di Asia Tenggara ini, jiran kita bukan sahaja sudah mampu mengejar bidang perindustrian di Malaysia, malah kita juga berisiko ditinggalkan oleh negara seperti Indonesia dan Vietnam.

“Malah, Thailand dan kerajaan baharu mereka juga tidak jauh ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) National Affairs Conference di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Dalam pada itu, Amirudin menegaskan pendidikan kekal sebagai bidang penting yang merupakan kunci untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan meningkatkan mobiliti sosial.

Tegasnya, setiap kanak-kanak di Malaysia perlu diberi peluang melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran, tanpa mengira pendapatan ibu bapa mereka.

Berkaitan perubahan iklim pula, Amirudin berkata perubahan pola cuaca telah mendatangkan musibah di pelbagai negara, terbaharu di Hong Kong dan Libya.

Menurutnya, puluhan ribu manusia kehilangan nyawa mereka akibat perubahan iklim, dengan ratusan ribu lagi kehilangan tempat tinggal dan berjuta-juta mengalami kesannya yang pelbagai.

Justeru, tegasnya, tiga elemen dibangkitkan beliau adalah faktor asas yang perlu ditangani secara berterusan untuk meremajakan dan memberi nafas baharu kepada ekonomi Malaysia.

“Sudah tentu, perincian dan bagaimana kami boleh mencapainya adalah penting dalam memberikan keyakinan kepada anda dan komuniti perniagaan bahawa kerajaan ini bersedia untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan kejayaan,” ujarnya.