BISNES
Pembaharuan struktur terus sokong daya tahan Malaysia - Gabenor BNM

Abdul Rasheed ketika berucap di Minggu MyFintech 2025 hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Pembaharuan struktur terus menyokong daya tahan Malaysia, memperkukuh disiplin fiskal, menarik pelaburan berkualiti tinggi dan meluaskan peluang ekonomi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata kemajuan yang dicatatkan dalam bidang strategik seperti peralihan tenaga, infrastruktur digital dan pembuatan bernilai tinggi sedang meletakkan asas untuk ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya saing.
"Pembaharuan ini penting bukan sahaja untuk pertumbuhan malah juga bagi kestabilan mata wang. Ini amat penting khususnya dalam persekitaran hari ini, apabila situasi kejutan menjadi lebih kerap, dan ketidaktentuan semakin menjadi norma," katanya ketika berucap di Minggu MyFintech 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata ringgit, seperti banyak mata wang pasaran yang sedang pesat membangun, turut terkesan berikutan ketidaktentuan ini dari semasa ke semasa."Bagaimanapun tahun ini, kita telah menyaksikan beberapa petanda yang menggalakkan apabila dorongan daripada pembaharuan ini, sebahagiannya telah membawa minat pelabur baharu dan menyokong ringgit," katanya.
Abdul Rasheed berkata ketika penutupan pasaran pada Isnin, mata wang domestik meningkat sebanyak 5.55 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan 1.8 peratus berbanding mata wang negara yang menjadi rakan dagang utama Malaysia.
"Asas ekonomi kita yang kukuh dan usaha terselaras untuk menggalakkan aliran mata wang yang seimbang dan teratur akan terus menyokong ringgit," katanya.
Beliau berkata BNM telah menyemak unjuran ekonomi kepada julat antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus tahun ini, mencerminkan ketidaktentuan yang meningkat dalam perdagangan global.
Unjuran ekonomi terus disokong oleh permintaan domestik yang teguh dan pelaburan berterusan dalam infrastruktur untuk sektor strategik berdasarkan pelan pembangunan negara, katanya.
Sementara itu, inflasi diunjurkan kekal sederhana, dengan inflasi keseluruhan dijangka pada purata antara 1.5 peratus hingga 2.3 peratus tahun ini.
"Unjuran yang disemak ini mencerminkan penurunan kos yang berterusan dan unjuran permintaan yang stabil. Dalam persekitaran ini, kesan daripada langkah dasar domestik dijangka kekal terkawal," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami