Menara pejabat 27 tingkat, Medini 10 di Iskandar Puteri Johor Bahru bakal dibangunkan oleh pemaju utama Medini Iskandar Malaysia, (MIMSB).

Projek bangunan dengan kos RM230 juta berkeluasan 510 ribu kaki persegi itu dijadual bermula pada Jun ini dan dijangka siap pada tahun 2018.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad berkata, projek tersebut merupakan pembangunan terbaharu di Medini Iskandar Malaysia yang dirancang selepas Medini 9.

"Ketika ini, banyak pelaburan untuk beberapa projek pembangunan, saya tidak tahu nilainya secara purata dan perlu melihat keseluruhan pelaburan.

"Namun kami ada banyak pelabur yang berminat untuk melabur dan ketika ini dalam proses perbincangan. Apabila perjanjian dimeterai, kami akan berkongsi maklumat," kata beliau dalam sidang media pada sesi taklimat berhubung perkembangan Medini Iskandar Malaysia di Iskandar Puteri, Johor Bahru pada Rabu.

Medini Iskandar Malaysia dirancang untuk dibangunkan sebagai sebuah bandar antarabangsa bersepadu baru merangkumi pusat perniagaan pintar di atas tanah seluas 892 hektar dalam tempoh 15 hingga 20 tahun.

Antara pemaju yang sedang rancak membangunkan projek mereka di Medini Iskandar Malaysia ialah Eastern & Oriental Bhd, UEM Sunrise, Mah Sing Group, Zhuoyuan Iskandar, Macrolink, UMLand Bhd dan Sunway Group.