KUALA LUMPUR: Pembekuan permohonan pekerja asing akan menjejaskan produktiviti dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kata Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai.

Beliau berkata keputusan mengejut oleh kerajaan untuk menghentikan semua permohonan dan kelulusan untuk kuota pekerja asing mulai 18 Mac akan menjejaskan langkah untuk memenuhi nilai perolehan kontrak syarikat, terutamanya untuk pasaran eksport.

"Kerajaan tidak boleh membuat keputusan secara tiba-tiba dan melaksanakan pembekuan secara mengejut terhadap mana-mana dasar kerajaan kerana ini akan menjejaskan proses pengambilan pekerja, terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini mula beroperasi atau mencatatkan jualan yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Skill for Prosperity Programme in Malaysia (SfP-Malaysia) di sini hari ini.

Beliau berkata susulan pertemuannya dengan menteri baru-baru ini, langkah kerajaan dalam membuat keputusan mengenai pembekuan adalah berdasarkan kuota yang telah diluluskan tetapi tidak digunakan oleh majikan dalam tempoh 30 hari.

"Mereka yang memenuhi kuota dan membayar levi pekerja asing, mereka diberi tempoh 18 bulan. Oleh itu, dalam tempoh 18 bulan ini, kerajaan tidak boleh membatalkan kuota tersebut tetapi membatalkan kuota (oleh syarikat) yang tidak membayar levi.

"Sehubungan itu, kami meminta kerajaan untuk perlu berdasarkan kes demi kes untuk sebarang permohonan bagi memenuhi keperluan pengeluaran mereka yang berubah-ubah," katanya.

Beliau berkata sesetengah pelabur baharu juga perlu mula memohon kuota mereka berikutan mereka masih memerlukan beberapa tahap tenaga kerja berkemahiran rendah untuk proses tertentu untuk memulakan operasi.

Katanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan, hampir 1.5 juta pekerja asing telah dihantar pulang ke negara sumber manakala pada masa ini, berdasarkan statistik, terdapat kira-kira 1.2-1.3 juta pekerja asing di Malaysia.

-- BERNAMA