Skip to main content

Malaysia

Penunggang motosikal maut terbabas masuk gaung di Gerik

https://www.sinarharian.com.my/article/782193/berita/semasa/penunggang-motosikal-maut-terbabas-masuk-gaung-di-gerik
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. -Foto JBPM Perak

GERIK: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter dalam kejadian di Puncak Gerik, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di sini pada Selasa.

Mangsa, Amir Afiq Adnan, 26, beralamat dari Bachok, Kelantan yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Z250, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan kejadian itu diterima pada jam 10.09 pagi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum jatuh ke dalam gaung berkenaan.

"Ketua operasi melakukan penilaian awal di lokasi sebelum mengaplikasikan konsep SAVER bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

"Mangsa dibawa naik ke atas jalan menggunakan pengusung melalui laluan longkang bertingkat di lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayatnya kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Nahas di Simpang Renggam: Seorang lagi maut kereta masuk gaung, pemandu Mercedes Benz ditahan
Operasi yang melibatkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik itu tamat sepenuhnya pada jam 11.58 pagi. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement