Pembuat peralatan kenderaan India, Lumax Mannoh Allied Technologies Ltd, merancang untuk menjalin usaha sama dengan syarikat Malaysia bagi mengukuhkan tapak ketiganya di ASEAN, kata Pengarah Vivek Kumar Jakhmola.

Beliau berkata Lumax telah mempunyai kilang pembuatan peralatan kenderaan di Thailand dan Indonesia, namun perancangan untuk meneroka ke dalam Malaysia didorong permintaan yang diterimanya dari negara itu.

Bagi tujuan tersebut, Lumax mahu mencari rakan usaha sama yang berpotensi menjelang tahun depan, katanya kepada Bernama di sini, pada Isnin.

"Buat permulaan, pelaburan dijangka antara AS$5 juta dan AS$13 juta, dengan jenis barangan yang kami rancang untuk dikeluarkan di Malaysia," katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengetuai misi perdagangan dan pelaburan di Delhi, Vijayawada dan Hyderabad di India, selain di Colombo, Sri Lanka.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk N. Rajendran dan Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Pengurusan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Wan Latiff Wan Musa.

Jakhmola berkata ketika ini, syarikat itu berbincang dengan beberapa syarikat korporat Malaysia dan MIDA telah menyesuai padan Lumax dengan satu atau dua syarikat berpotensi.

Lumax, melalui anak syarikat milik penuhnya Lumax DK Auto Industries Ltd, merupakan peneraju pasaran dalam reka bentuk, pengujian dan pembuatan brek letak kenderaan dan tuil anjakan gear di India yang mencatat penguasaan pasaran domestik keseluruhan melebihi 60 peratus dengan kehadiran kukuh dalam segmen kenderaan penumpang dan komersial.

Pelanggan utamanya termasuk Maruti Suzuki, Honda Cars, Toyota, Nissan, General Motors India, Daimler, Mahindra dan Volvo Eichar.