BISNES
Pempamer Malaysia catat jualan RM123.26 juta di Construction Indonesia 2025

Mohd Mustafa berkata MATRADE komited membantu syarikat Malaysia menjalin kerjasama lebih erat di Indonesia serta meletakkan Malaysia sebagai rakan kongsi yang dipercayai. - Gambar fail/Facebook MATRADE
KUALA LUMPUR: Pempamer Malaysia di Construction Indonesia 2025 mencatatkan jumlah jualan RM123.26 juta sekali gus menunjukkan permintaan kukuh terhadap penyelesaian Malaysia dalam pasaran pembinaan Indonesia yang sedang berkembang pesat.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjelaskan acara itu berlangsung dari 10 hingga 13 Sept, 2025 di Jakarta International Expo (JIEXPO), dengan Pavilion Malaysia yang diterajui MATRADE mengetengahkan 12 syarikat Malaysia dan Jabatan Landskap Negara, yang mempamerkan pelbagai penyelesaian inovatif.
Peserta juga mengadakan lebih 100 pertemuan perniagaan dengan pihak berkepentingan dari Indonesia, termasuk pembeli, pengedar dan rakan projek.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata jualan kukuh yang direkodkan di Construction Indonesia menunjukkan daya saing dan daya tahan kalangan syarikat Malaysia."Industri pembinaan Indonesia merupakan antara yang paling pesat berkembang di rantau ini dan diunjurkan mencecah RM1.87 trilion menjelang 2030.
"Industrinya menawarkan peluang yang amat besar bukan sahaja dalam bidang infrastruktur dan bahan binaan, malah juga dalam pembangunan bandar mampan dan landskap," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata MATRADE komited membantu syarikat Malaysia menjalinkan kerjasama yang lebih erat di Indonesia serta meletakkan Malaysia sebagai rakan kongsi dipercayai dalam membentuk bandar dan infrastruktur masa depan negara itu.
"Menerusi penyediaan penyelesaian yang inovatif dan mampan, pengeksport kita membantu dalam mewujudkan ruang bandar yang lebih lestari dan komuniti yang lebih berdaya tahan, sejajar dengan agenda pembangunan Indonesia," katanya.
Agensi penggalakan perdagangan negara di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menjelaskan kepakaran landskap yang dimiliki oleh Malaysia juga menarik minat yang tinggi ketika pameran itu berlangsung.
MATRADE memaklumkan susulan perbandaran yang pesat dan penekanan terhadap perancangan bandar mampan di Indonesia, permintaan terhadap penyelesaian penghijauan bandar dan landskap dijangka meningkat.
Kelebihan Malaysia dalam bidang itu sejajar dengan keutamaan Indonesia dalam membina bandar yang selesa didiami dan lestari untuk generasi akan datang, menurutnya.
"Eksport bahan binaan Malaysia ke Indonesia mencecah RM1.43 bilion pada 2024, dengan beberapa kategori produk menunjukkan pertumbuhan yang kukuh.
"Eksport plastik keluaran kilang melonjak 36.4 peratus kepada RM227.9 juta, manakala produk logam meningkat 14.7 peratus kepada RM264 juta," menurut MATRADE.
MATRADE menjelaskan pencapaian positif itu mencerminkan keupayaan Malaysia dalam membekalkan penyelesaian pembinaan yang inovatif, berkualiti tinggi dan mampan selaras dengan keperluan pasaran Indonesia yang sedang berkembang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami