Skip to main content

Malaysia

Aktiviti lombong emas haram ancam nyawa, alam sekitar - Mohamed Fadzli

61732525115_MohamedFadzliHassa.jpg
Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri amat dukacita dan kesal dengan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua lelaki tempatan ketika menjalankan aktiviti perlombongan emas di Kuala Balah, Jeli. - Gambar fail

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menegaskan penguatkuasaan berterusan dilaksanakan oleh agensi berkaitan bagi membanteras aktiviti perlombongan haram di kawasan dikenal pasti termasuk di Jeli dan pedalaman negeri.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata kerajaan negeri amat dukacita dan kesal dengan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 38 tahun ketika menjalankan aktiviti perlombongan emas di Ladang Sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah, Jeli.

Beliau berkata insiden itu membuktikan aktiviti perlombongan haram bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengundang risiko besar terhadap nyawa, keselamatan dan kelestarian alam sekitar.

“Operasi pemantauan, risikan dan tindakan lapangan terus dipertingkatkan bagi membendung kegiatan pencerobohan hasil bumi secara lebih tegas dan berkesan.

“Individu atau pihak yang terlibat dalam aktiviti pengambilan hasil bumi tanpa lesen dan kelulusan sah boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Mineral Negeri Kelantan serta undang-undang berkaitan tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Fadzli turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi prosedur operasi dan syarat keselamatan yang ditetapkan selain mendapatkan permit serta kelulusan sah sebelum menjalankan sebarang aktiviti perlombongan.

“Keghairahan mencari keuntungan tidak boleh mengatasi soal keselamatan nyawa dan pematuhan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta semua anggota penyelamat yang terlibat dalam operasi menyelamat.

Semalam, dua lelaki maut tertimbus dalam runtuhan tebing tanah ketika menjalankan aktiviti melombong emas di kawasan anak sungai dekat Ladang Sawit Jerimbong, Jeli.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement