PERANCIS dan Jerman mengumumkan pelan masing-masing untuk membelanjakan dana pemulihan pandemik Kesatuan Eropah (EU).

Dana berkenaan akan digunakan untuk melawan perubahan iklim dan meningkatkan teknologi digital di dalam kedua-dua ekonomi tersebut.

Menurut menteri kewangan kedua-dua negara itu pada Selasa, dana akan digunakan untuk meningkatkan pertumbuhan zon berkenaan yang pemulihannya ketinggalan berbanding Amerika dan China.

Pelan itu akan memberi Perancis 40 bilion euro dan Jerman 28 bilion euro.

Jerman akan membahagikan dana berkenaan untuk pembangunan teknologi digital dan projek mesra alam.

Menteri Kewangan Jerman Olaf Scholz berkata, perubahan iklim merupakan cabaran besar ketika ini.

"Kita mahu ekonomi kita menjadi neutral iklim sekurang-kurangnya pada 2050.

"Bagi tujuan itu, 40% daripada dana yang kami terima akan dilaburkan dalam mobiliti mesra iklim, teknologi hidrogen dan pengubahsuaian bangunan jimat tenaga.

"Jumlahnya mencecah lebih 11 bilion euro," katanya.

Seentara itu, Menteri Kewangan Perancis Bruno Le Maire berkata:

"Hari ini, keutamaannya ialah untuk melabur dengan sebanyak-banyaknya, bukan untuk menggabungkan dana awam.

"Kita telah belajar dari pengalaman lampau. Kita akan memulihkan kembali dana awam sebaik sahaja krisis COVID ini berakhir."

Pelan itu kini harus diluluskan oleh Suruhanjaya Eropah untuk membolehkan dana tersebut disalurkan kepada negara terlibat.

Sebelum ini, suruhanjaya memperuntuk dana 750 bilion euro untuk membantu EU.

Pelan berkenaan diumumkan pada Julai tahun lepas, namun ia masih belum diluluskan untuk membantu ahli melaksanakan pemulihan ekonomi.