Pendigitalan gagal jika syarikat tidak ubah cara kerja

Ts. Afizulazha menegaskan, kejayaan pendigitalan bergantung pada keupayaan syarikat mengubah cara kerja, bukan semata-mata pelaksanaan sistem digital.
KUALA LUMPUR: Cabaran digital Malaysia bukan berpunca daripada kekurangan teknologi, sebaliknya bergantung pada keupayaan syarikat menyesuaikan kaedah kerja selepas pelaksanaan sistem baharu, kata Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, Ts. Afizulazha Abdullah.
Ringkasan AI
- Cabaran digital Malaysia bukan disebabkan oleh kekurangan teknologi, tetapi bergantung kepada keupayaan syarikat menyesuaikan kaedah kerja selepas pelaksanaan sistem baharu - Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi.
- Inisiatif digital harus melibatkan transformasi perniagaan secara menyeluruh, bukannya hanya pelaksanaan teknologi maklumat semata-mata - Ts. Afizulazha Abdullah.
- Syarikat perlu menetapkan tujuan pelaburan digital yang jelas sebelum menyelaraskan sistem dengan matlamat berkenaan, untuk mengelakkan risiko mengejar trend teknologi tanpa perubahan bermakna - program Niaga Spotlight.
"Mereka perlu melihat perkara ini melangkaui skop projek IT," katanya dalam program Niaga Spotlight.
Tambah beliau, banyak firma melaksanakan perkhidmatan awan, platform dan sistem baharu tanpa menyesuaikan cara kerja kakitangan, kaedah penilaian prestasi atau kejelasan akauntabiliti terhadap hasil.
Katanya, kejayaan inisiatif digital harus diukur melalui keupayaan operasi melaksanakan kerja dengan lebih pantas, cekap dan berkesan.
Afizulazha turut menegaskan syarikat perlu menetapkan tujuan pelaburan digital yang jelas, sama ada untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan, kecekapan operasi atau pertumbuhan hasil, sebelum menyelaraskan sistem dengan matlamat berkenaan.
Tanpa kejelasan itu, katanya, organisasi berisiko sekadar mengejar trend teknologi tanpa perubahan bermakna terhadap tingkah laku, proses kerja dan ukuran prestasi pelaksanaan.
Sepanjang dekad lalu, dasar seperti MyDigital, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan peruntukan Belanjawan 2026 telah mendorong Malaysia melangkaui akses internet asas ke arah pemaksimuman nilai pelaburan digital.
Ekonomi digital Malaysia diunjurkan melebihi RM59 bilion menjelang 2026, namun kemajuan pelaksanaan masih tidak sekata merentas sektor.
Data Cisco menunjukkan hanya 13 peratus organisasi di Malaysia benar-benar bersedia melaksanakan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan pada skala lebih luas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


