KUALA LUMPUR: Malaysia menyampaikan simpati serta sokongan kepada Kuwait dan Oman yang kini berdepan cabaran berkaitan kedaulatan dan keselamatan negara susulan perkembangan semasa di Asia Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu disampaikan beliau dalam perbincangan bersama rakan sejawatnya dari Kuwait Sheikh Ahmad Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah serta Menteri Luar Oman Sayyid Badr Albusaidi.
Advertisement
“Selain itu, saya turut menyampaikan penghargaan terhadap komitmen kedua-dua kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang menetap di negara masing-masing,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Anwar berkata Malaysia turut memuji usaha Oman dalam memudah cara proses mediasi antara Amerika Syarikat dan Iran.
Beliau berkata semua pihak bersetuju bahawa situasi berkenaan perlu ditangani melalui pendekatan damai, selain menekankan kepentingan semua pihak menahan diri bagi mengelakkan ketegangan yang boleh menjejaskan kestabilan rantau itu.
Keadaan di Asia Barat semakin tegang sejak Sabtu lepas (28 Feb) apabila Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran, yang kemudian dibalas Tehran menerusi serangan terhadap kepentingan Amerika Syarikat di negara Teluk.
-- BERNAMA