KUALA LUMPUR: Peneraju sektor tenaga meminta institusi kewangan menawarkan sokongan pembiayaan yang lebih baik untuk industri tenaga boleh diperbaharui (RE) memandangkan potensi besarnya pada masa hadapan.

Pengarah Urusan TNB Renewables Sdn Bhd, Mohd Yusrizal Mohd Yusof memuji ketersediaan meluas dalam opsyen pembiayaan di pasaran tetapi berharap struktur serta kadar pinjaman dapat dikaji semula.

Pelabur dan bank perlu melihat kaedah yang lebih inovatif untuk menstrukturkan kadar kewangan yang lebih baik, kata Mohd Yusrizal pada Forum Pandangan Jauh Perniagaan 2022, anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) di sini semalam.

Beliau merupakan salah seorang penceramah dalam sesi bertajuk 'Melabur dalam Masa Hadapan Tenaga Boleh Diperbaharui', bersama Presiden Persatuan Industri Fotovoltan Malaysia Davis Chong dan Ketua Skala Utiliti Gentari Sdn Bhd, RE Malaysia, Zulkifli Salim.

Chong ketika mengulas mengenai cabaran lain mencadangkan agar Suruhanjaya Sekuriti (SC) menubuhkan pasukan petugas mengenai perubahan iklim dan pendedahan kewangan untuk mencontohi pelaksanaan yang serupa dalam peraturan pasaran modal negara maju.

"Ini akan menguatkuasakan semua pemain industri tersenarai dalam pasaran modal agar benar-benar mendorong pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan lebih cepat," katanya.

Ketidaktentuan semasa dalam pasaran pertukaran asing juga menimbulkan risiko kepada industri memandangkan peratusan besar daripada jumlah kos pembelian peralatan dalam projek solar berada dalam denominasi dolar US.

Dalam sesi yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga,Abdul Razib Dawood selaku moderator mencadangkan penubuhan bank hijau dan dana kelestarian bagi membiayai projek mesra alam di Malaysia.

-- BERNAMA