Skip to main content

Dunia

Lebih 277,000 tinggalkan Lubnan untuk ke Syria ketika permusuhan memuncak - UNHCR

REUTERS
Peningkatan jumlah pelarian yang pulang dan tiada tempat tinggal semakin membebankan infrastruktur Syria yang kini rapuh dan memiliki kapasiti kemanusiaan yang terhad. - Reuters

DAMSYIK: Lebih 277,000 orang merentasi Lubnan ke Syria sejak awal Mac susulan ketegangan serantau dan keganasan rentas sempadan yang memuncak sekali gus memberi tekanan pada sumber yang sudah pun terhad di negara dilanda konflik itu, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, lapor Xinhua.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian (UNHCR), kira-kira 277,000 orang memasuki Syria antara 2 Mac dan 12 April.

Advertisement

Daripada jumlah itu, kira-kira 234,000 ialah warga Syria termasuk kira-kira 67,300 yang berhasrat untuk kembali secara kekal, manakala kira-kira 43,000 adalah warga Lubnan.

Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB ke atas Republik Arab Syria menyatakan kebimbangan terhadap kesan ke atas kestabilan dan hak asasi manusia di negara itu, menyatakan bahawa banyak yang tiba sudah trauma dengan perang bertahun-tahun di Syria dan tembak-menembak di Lubnan baru-baru ini.

Menurut suruhanjaya itu, peningkatan jumlah pelarian yang pulang dan tiada tempat tinggal semakin membebankan infrastruktur Syria yang kini rapuh dan memiliki kapasiti kemanusiaan yang terhad, memandangkan jutaan orang di seluruh negara masih bergantung pada bantuan.

Ia turut menekankan kesan keganasan serantau yang lebih luas, merujuk pada serangan Israel, pencerobohan, pusat pemeriksaan, amalan penahanan dan kemusnahan harta benda yang menjejaskan kehidupan dan mata pencarian di selatan Syria.

Menurut suruhanjaya itu pihaknya sedang menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan dan akan melaporkan penemuannya dalam masa terdekat.

Ia menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik supaya memperhebat usaha untuk menamatkan permusuhan dan memastikan perlindungan awam serta hak asasi manusia kekal sebagai asas rundingan yang masih berjalan itu.

Walaupun terdapat tanda-tanda pemulihan beransur-ansur di bahagian Syria, pegawai PBB memberi amaran bahawa ketidakstabilan yang berterusan berisiko menjejaskan kemajuan dan meningkatkan keperluan kemanusiaan di seluruh negara.

-- BERNAMA-XINHUA 

 

Must Watch Video