PUTRAJAYA: Penerbangan baharu terus dari Kuala Lumpur ke Doha akan memacu pemulihan pelancongan Malaysia dan meningkatkan sektor pelancongan negara, berikutan sempadan dibuka semula pada 1 April, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata sebagai destinasi Timur Tengah ketiga selepas Jeddah dan Madinah, laluan baharu itu akan membantu meningkatkan lagi pertumbuhan aliran trafik melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta membuka Malaysia secara lebih meluas kepada pelancong dari destinasi antarabangsa yang lain.

"Perkhidmatan baharu ini akan membolehkan perhubungan yang lancar bagi penumpang untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, sekali gus membolehkan hubungan optimum untuk ke Amerika Syarikat, Eropah, Afrika dan Timur Tengah melalui perkongsian kod dengan Qatar Airways," katanya dalam satu kenyataan selepas secara peribadi mengalu-alukan penumpang dari Doha yang tiba di KLIA di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia Airlines akan mengendalikan penerbangan terus harian antara KLIA (KUL) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha (DOH) melalui MH160 yang berlepas dari KUL-DOH pada 9.20 malam dan MH161 yang berlepas dari DOH-KUL pada 1.30 pagi.

"Perkhidmatan harian akan menggunakan pesawat A330-300, dilengkapi dengan 290 tempat duduk, terdiri daripada 27 tempat duduk dalam Kelas Perniagaan, 16 Ekonomi dengan ruang kaki tambahan dan 247 tempat duduk dalam Kelas Ekonomi," kata Nancy.

BACA: Malaysia Airlines lancar penerbangan Kuala Lumpur - Doha

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail telah mengumumkan laluan baharu syarikat penerbangan negara itu ke Doha bermula 25 Mei adalah peluang terbaik untuk mengembangkan rangkaian dan penawarannya, termasuk menghubungkan pasaran ASEAN dengan rantau Timur Tengah.

Mengulas mengenai laluan baharu, Nancy berkata Malaysia menjangka menarik 2 juta ketibaan pelancong antarabangsa tahun ini dengan RM8.6 bilion dalam penerimaan pelancongan berikutan pembukaan semula sempadan negara.

"Ia sememangnya satu kelegaan besar bagi industri pelancongan kerana kami mengalu-alukan lebih ramai pelancong antarabangsa, pendatang baru dan tetap, untuk meningkatkan lagi ekonomi kita. Oleh itu, kami berharap pemulihan kukuh dalam pasaran kami kerana pembukaan semula sempadan akan membuka pintu untuk kebangkitan pelancongan untuk meningkatkan pemulihan," katanya.

Sementara itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata trafik antarabangsa di rangkaian lapangan terbang tempatannya telah meningkat sebanyak 53 peratus berikutan pembukaan semula sempadan.

MAHB berkata ia telah merekodkan purata 23,000 pergerakan penumpang antarabangsa setiap hari, dengan jumlah kemuncaknya melebihi 30,000 semasa cuti perayaan Hari Raya yang panjang baru-baru ini.

"Kumpulan merekodkan sejumlah 2.78 juta penumpang untuk Malaysia pada April, dengan pergerakan penumpang domestik berjumlah 2.13 juta atau 77 peratus," kata MAHB.

-- BERNAMA