KUALA LUMPUR: MIDF Research melihat pengambilalihan loji janakuasa gabungan turbin gas berkapasiti 396 megawatt (MW) milik Tuaspring Pte Ltd di Singapura oleh YTL Power International Bhd adalah positif kepada prospek kumpulan.

Tambahan pula, menurut penganalisisnya, Hafriz Hezry, pengambilalihan itu dilaksanakan pada kos yang lebih rendah kira-kira 19% berbanding pertimbangan tunai pada peringkat awal sebanyak S$331.45 juta.

"Pertimbangan pembelian yang lebih rendah mengurangkan kos pemerolehan kepada anggaran nilai perusahaan (EV) sebanyak RM2.2 juta/MW (S$700,000/MW) daripada S$800,000/MW (RM2.7 juta/MW) pada asalnya.

"Pada pandangan kami, ini agak menarik berbanding anggaran kos penggantian sebanyak RM3 hingga RM4 juta/MW untuk loji CCGT biasa," katanya dalam nota kajian hari ini.

Langkah pengambilalihan itu telah dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, YTL PowerSeraya Pte Ltd.

Pertimbangan asal pembelian berkenaan adalah pada S$331.45 juta yang akan diselesaikan menerusi gabungan tunai berserta saham dan pinjaman pemegang saham dalam YTL PowerSeraya yang telah dikurangkan kepada hanya pertimbangan tunai S$270 juta (anggaran RM861 juta) apabila selesai.

Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong semalam, berkata, loji tenaga Tuaspring dengan kapasiti gabungan itu hanya melengkapkan lagi aset penjanaan tenaga kumpulan berkenaan di Singapura selain turut membentuk sinergi penting merentasi portfolio perniagaan utiliti kumpulan.

Stesen tenaga itu telah beroperasi pada 2016 dan menjadi sebahagian daripada projek penyahgaraman di bawah projek kerjasama swasta-awam dengan pihak Lembaga Utiliti Awam Singapura.

Penambahan Tuaspring dianggarkan mengembangkan kapasiti penjanaan YTL Power di Singapura sebanyak 16.5% kepada kira-kira 2.8GW memberikannya anggaran sebanyak 22%.

Hafriz berkata, dalam tinjauan pasaran tenaga elektrik Singapura yang diterbitkan pada November 2021, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) mengunjurkan permintaan sistem tahunan dan puncak akan berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) antara 2.8 hingga 3.2% dalam dekad akan datang (2022-2032), yang mengambil kira unjuran permintaan daripada pertumbuhan tinggi baharu sektor seperti pusat data.

Berdasarkan pelan penjanaan indikatif yang dikemukakan oleh pemegang lesen penjanaan, EMA mengunjurkan jumlah bekalan elektrik meningkat sedikit kepada 11.8GW pada 2022 tetapi ini dijangka berkurangan dengan ketara kepada 11.1GW pada 2023.

"Akibatnya, margin rizab sempadan atas-bawah Singapura diunjurkan pada 53%-46% pada 2022, berkurangan dengan ketara kepada 34%-29% pada 2023 dan stabil pada sekitar kadar ini selepas itu," jelasnya.

Sehubungan itu, secara keseluruhan, beliau positif terhadap pengambilalihan Tuaspring memandangkan kemasukan yang agak murah dan kapasiti tambahan datang pada masa sesuai untuk memanfaatkan harga elektrik borong yang jauh lebih tinggi ketika ini.

"Ini secara tidak langsung mengukuhkan saranan 'beli' terhadap YTL Power dengan harga sasaran tidak berubah pada 92 sen.

"Kami menjangkakan pemulihan yang kukuh dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) berikutan pemerolehan yang pulih dengan kukuh di Power Seraya, sumbangan daripada loji Tuaspring yang baru diperoleh daripada suku pertama FY23 dan normalisasi pendapatan di Wessex Water," katanya.  -DagangNews