Kuala Lumpur:Kementerian Kewangan dijangka mengumumkan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat Isnin depan, menurut sumber yang rapat dengan perbincangan tersebut.

Tambah sumber Astro AWANI itu, perbincangan masih dijalankan bagi mencari jalan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyediakan peruntukan bagi pengeluaran tanpa syarat.

"MoF (Kementerian Kewangan) nyatakan veto untuk menyokong pelaksanaan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat. KWSP sedang berbincang tentang jumlah sebenar pengeluaran i-Sinar tanpa syarat.

"Perkiraan awal mendapati, KWSP jangkakan memerlukan RM108 bilion berbanding RM33 bilion jika i-Sinar bersyarat," kata sumber itu lagi.

Sumber berkenaan turut memaklumkan, mesyuarat KWSP kini tertumpu kepada struktur pembayaran termasuk sekiranya ia dibayar secara bersekali.

"Jika dibuat bayaran sekali, KWSP perlu menarik beberapa pelaburan di luar negara untuk menyokong proses pembayaran itu," kata sumber tersebut.

BACA: i-Sinar: "Buatlah macam i-Lestari, hapus semua syarat pengeluaran" - Najib Razak

Astro AWANI dimaklumkan, KWSP juga sedang meneliti pelaburan yang boleh ditarik kembali bagi menjayakan i-Sinar.

Sementara itu, sumber yang sama menafikan dakwaan kononnya pertukaran Ketua Pegawai Eksekutif KWSP adalah disebabkan tidak selari dengan hasrat MoF.

Astro AWANI sedang menghubungi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk mendapatkan pengesahan.