BISNES
Pengeluaran MSM Malaysia naik 2.35 peratus pada Ogos, eksport minyak sawit turun 0.29 peratus

MPOB berkata, dalam Laporan Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia Ogos 2025, pengeluaran isirung sawit meningkat sebanyak 2.66 peratus bulan ke bulan kepada 443,077 tan daripada 431,615 tan pada Julai. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia meningkat sebanyak 2.35 peratus bulan ke bulan kepada 1.86 juta tan pada Ogos daripada 1.81 juta tan pada Julai, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ringkasan AI
- Pengeluaran minyak sawit mentah Malaysia meningkat 2.35 peratus kepada 1.86 juta tan pada Ogos 2025, namun eksport menurun sedikit sebanyak 0.29 peratus kepada 1.32 juta tan.
- Inventori minyak sawit keseluruhan naik 4.18 peratus kepada 2.20 juta tan, dengan peningkatan dalam stok MSM dan minyak sawit terproses, manakala pengeluaran minyak isirung sawit mentah dan dedak isirung sawit mencatatkan penurunan.
- Eksport minyak isirung sawit melonjak 22.91 peratus, tetapi eksport dedak isirung sawit, oleokimia dan biodiesel masing-masing mencatatkan penurunan; import MSM pada Ogos sifar dan import minyak isirung sawit susut 42.56 peratus.
Sementara itu, pengeluaran minyak isirung sawit mentah menurun sebanyak 4.39 peratus bulan ke bulan kepada 208,655 tan daripada 218,239 tan sebelumnya manakala dedak isirung sawit susut sebanyak 4.63 peratus bulan ke bulan kepada 227,473 tan daripada 238,511 tan.
Mengenai inventori, MPOB berkata stok MSM naik sebanyak 5.45 peratus kepada 1.08 juta tan pada Ogos daripada 1.02 juta tan pada bulan sebelumnya manakala stok minyak sawit terproses menokok sebanyak 3.00 peratus bulan ke bulan kepada 1.12 juta tan daripada 1.09 juta tan sebelumnya.
"Ini menyebabkan jumlah inventori minyak sawit meningkat sebanyak 4.18 peratus kepada 2.20 juta tan pada Ogos daripada 2.11 juta tan pada Julai," katanya.
Sementara itu, eksport minyak isirung sawit melonjak sebanyak 22.91 peratus kepada 110,656 tan daripada 90,028 tan sebelumnya manakala eksport dedak isirung sawit merosot sebanyak 30.82 peratus bulan ke bulan kepada 175,874 tan daripada 254,239 tan.
Eksport oleokimia turun sebanyak 7.28 peratus bulan ke bulan kepada 230,988 tan daripada 249,128 tan manakala eksport biodiesel menguncup sebanyak 37.32 peratus kepada 30,833 tan bulan ke bulan daripada 49,195 tan.
"Import MSM pada Ogos sifar daripada 7,816 tan pada Julai manakala jumlah import minyak isirung sawit menurun sebanyak 42.56 peratus bulan ke bulan kepada 14,082 tan daripada 24,516 tan pada Jun," tambah MPOB.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami