KUALA LUMPUR: Penglibatan rakyat secara meluas dalam aktiviti ekonomi negara dengan menggunakan sistem kewangan sebagai pengantara memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini berkata penglibatan dalam sistem kewangan formal melalui akses dan penggunaan produk perkhidmatan kewangan oleh individu dan perniagaan termasuklah akaun deposit, pinjaman untuk pembelian aset atau perniagaan, perlindungan insurans serta pelaburan membolehkan rakyat mengurus kewangan dengan bijak dan merancang masa depan yang lebih stabil dan teratur.

"Ini sudah tentu akan mengurangkan risiko kemiskinan dan memperkuat daya tahan individu dan perniagaan ketika berdepan situasi tidak dijangka seperti kehilangan mata pencarian dan peluang perniagaan atau ditimpa musibah," katanya dalam ucapan pada Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Johor, hari ini.

Majlis tersebut merupakan acara kemuncak bagi Bulan Literasi Kewangan 2023.

Adnan Zaylani berkata rangkuman kewangan juga dapat mengurangkan jurang sosioekonomi apabila semua lapisan masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk turut serta dalam pembangunan ekonomi, tanpa ada yang terpinggir.

"Sehingga kini, 96 peratus golongan dewasa di Malaysia mempunyai akaun deposit yang aktif dan 99 peratus mukim di negara ini mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan," katanya.

Menurutnya walaupun rangkuman kewangan daripada segi pemilikan akaun simpanan di Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau ini namun akses kepada perkhidmatan dan produk kewangan tertentu bagi golongan terpinggir atau kurang mendapat khidmat kewangan merupakan cabaran dihadapi negara.

"Selepas pandemik, kos sara hidup yang meningkat, isu sekuriti makanan, jurang pendapatan dan ketidaktentuan ekonomi global telah memberi kesan terutamanya kepada golongan tersebut.

"Untuk keluar daripada situasi ini, ia memerlukan anjakan dalam segala segi terutamanya dalammenyediakan peluang untuk menjana pendapatan, kebolehsaingan, penyusunan semula strategi dan dasar dalam pengagihan subsidi dan memacu ekonomi dengan inovasi dan teknologi yang terkini," kata Adnan Zaylani.

Sementara itu, mengenai tahap celik kewangan digital Adnan Zaydani berkata satu daripada tiga rakyat Malaysia berkongsi kata laluan perbankan mereka dan lebih 70 peratus rakyat Malaysia tidak mengendahkan faktor keselamatan ketika berurusan di platform kewangan digital.

"Ini sudah tentu akan mendedahkan rakyat kepada risiko penipuan kewangan. Oleh itu, saya berharap supaya semua akan mengambil peluang untuk terus meningkatkan tahap celik kewangan masing-masing dan mengamalkan pengurusan kewangan berhemat untuk kesejahteraan diri dan keluarga bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga untuk masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, program jelajah Bulan Literasi Kewangan ke seluruh negara telah menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 26 ribu rakyat disantuni dan peningkatan pengetahuan yang sangat baik.

Setakat pukul 12 tengah hari, seramai 17 ribu pengunjung telah memeriahkan karnival tersebut dan mendapat khidmat nasihat di ruang pameran yang terlibat serta lebih daripada RM11 juta urus niaga kewangan telah direkodkan.

-- BERNAMA