Skip to main content

Bisnes

Pengusaha songket harap Belanjawan 2027 perkasa industri warisan

KUALA TERENGGANU, 11 Sept - Penenun songket, Gayah Awang, 57, yang juga yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan melakukan kerja-kerja menenun ketika ditemui Bernama di kediamannya di Pasir Panjang, baru-baru ini. Industri songket antara sektor kraf tangan yang cukup sinonim dengan Terengganu dan wajar terus dipelihara, diperkasakan serta dimartabatkan kerana nilainya bukan sekadar daripada perspektif ekonomi, bahkan mencerminkan kekayaan warisan budaya serta identiti masyarakat Melayu. Justeru, untuk
Gayah yang juga yang juga OKU penglihatan melakukan kerja-kerja menenun ketika ditemui di kediamannya di Pasir Panjang, baru-baru ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Industri songket antara sektor kraf tangan yang cukup sinonim dengan Terengganu dan wajar terus dipelihara, diperkasakan serta dimartabatkan kerana nilainya  bukan sekadar daripada perspektif ekonomi, bahkan mencerminkan kekayaan warisan budaya serta identiti masyarakat Melayu.

Justeru, untuk memastikan kelangsungan industri berkenaan, beberapa pengusaha songket di negeri ini berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada bulan hadapan dapat memberikan perhatian dan sokongan sewajarnya terhadap industri berkenaan, sekali gus memastikan warisan songket terus dipelihara dan tidak lenyap ditelan zaman.

Seorang penenun songket dari Kampung Pasir Panjang di sini, Gayah Awang, 57, berharap kerajaan dapat memberikan fokus kepada pembangunan latihan seni tenunan songket bagi melahirkan lebih ramai pelapis daripada golongan muda.

Beliau berkata pada 80-an terdapat lebih 100 pengusaha songket di Pasir Panjang, namun jumlah ini terus berkurang sehingga dilaporkan hanya tinggal tujuh penenun ketika ini.

"Dahulunya boleh dikatakan setiap rumah di Pasir Panjang mempunyai  peralatan menenun. Anak-anak gadis akan mempelajari seni tenunan secara turun-temurun.

“Tetapi kini hanya tinggal tujuh penenun yang sudah berusia di kawasan ini. Jika kami sudah tiada, mungkin industri ini akan terkubur begitu sahaja," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Pasir Panjang, baru-baru ini.

Gayah, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan berkata antara faktor golongan muda kurang berminat mempelajari kemahiran tenunan ialah proses penghasilannya yang rumit dan mengambil masa agak lama untuk disiapkan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata penyediaan insentif yang baik dilihat mampu menarik minat generasi muda untuk mempelajari seni tenunan, seterusnya mengembangkan industri berkenaan mengikut peredaran fesyen semasa.

"Kain songket sebenarnya mempunyai potensi untuk dikembangkan seperti juga batik. Tetapi ia memerlukan kesabaran, ketelitian dan daya kreativiti. 

“Jadi saya berharap agar agensi berkaitan dapat membuat lebih kajian dan mencari pasaran agar industri songket dapat terus dimartabatkan," katanya yang sudah lebih 30 tahun bergiat dalam industri berkenaan.

Sementara itu, pengusaha songket dari Kampung Rhu Rendang, Marang, Mohd Lukman Haniff Ngah, 45, berharap kerajaan terus menumpukan kepada pengusaha berskala kecil, yang berdepan cabaran peningkatan kos bahan mentah dan capaian pasaran terhad, selain mengambil langkah membendung lambakan songket tiruan yang mengancam kelangsungan industri songket tempatan.

"Setahu saya kerajaan memang ada menyediakan peruntukan untuk pembangunan songket dalam bajet terdahulu, tetapi ia lebih memfokus kepada pengusaha yang sudah mempunyai nama dan berskala besar.

"Jadi, saya harap dalam pembentangan Belanjawan 2027 nanti, kerajaan akan memberikan inisiatif khusus untuk pengusaha songket kecil-kecilan. Saya fikir menarik juga jika diadakan perkampungan songket di Marang atau Kuala Terengganu bagi menarik kunjungan pelancong," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement