Skip to main content

Dunia

EU gesa Myanmar laksana sepenuhnya keputusan ICJ berhubung genosid 'tanpa berlengah'

Pelarian Rohingya menunjukkan reaksi ketika mendengar terjemahan keputusan ICJ yang diumumkan secara langsung kepada orang ramai yang berhimpun, berhubung kes yang menuduh Myanmar melakukan genosid terhadap komuniti minoriti Rohingya. - Foto REUTERS
Pelarian Rohingya menunjukkan reaksi ketika mendengar terjemahan keputusan ICJ yang diumumkan secara langsung kepada orang ramai yang berhimpun, berhubung kes yang menuduh Myanmar melakukan genosid terhadap komuniti minoriti Rohingya. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Kesatuan Eropah menggesa Myanmar melaksanakan sepenuhnya keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung genosid terhadap etnik Rohingya tanpa berlengah.
  • EU menegaskan pematuhan terhadap keputusan ICJ adalah kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk restitusi dan pampasan kepada mangsa.
  • ICJ memutuskan Myanmar bertanggungjawab melakukan genosid terhadap etnik Rohingya pada 2017, dengan sembilan hakim menyokong dan enam menentang.
Advertisement

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis menggesa Myanmar melaksanakan sepenuhnya keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) "tanpa berlengah", sambil menegaskan bahawa pematuhan terhadap keputusan itu merupakan kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa.

Anadolu Ajansi melaporkan EU dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh perkhidmatan diplomatik Suruhanjaya Eropah memaklumkan bahawa Myanmar mesti memenuhi kewajipannya di bawah keputusan itu, termasuk melaksanakan restitusi serta memberikan pampasan bagi kerosakan yang tidak dapat dipulihkan melalui langkah berkenaan.

"Pematuhan terhadap keputusan ICJ bukan satu pilihan, sebaliknya merupakan kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Advertisement

EU berkata kebertanggungjawaban terhadap jenayah yang dilakukan ke atas etnik Rohingya adalah penting bagi mencapai penyelesaian mampan terhadap krisis itu serta kestabilan serantau.

"Etnik Rohingya telah menanggung penderitaan yang amat berat, termasuk pemindahan paksa dan keganasan, dan nasib mereka tidak boleh dilupakan.

Advertisement

"Keputusan bersejarah ini menekankan betapa pentingnya keadilan bagi mangsa serta keperluan untuk menegakkan undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Blok itu turut menegaskan bahawa kebebasan dan kuasa ICJ kini lebih penting berbanding sebelum ini susulan peningkatan ancaman terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa serta pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berleluasa.

EU menggesa semua negara menghormati keputusan mahkamah itu dan memastikan semua keputusannya dilaksanakan sepenuhnya dengan segera.

Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis memutuskan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya beragama Islam pada 2017, sekali gus menandakan kali pertama mahkamah itu memutuskan sesebuah negara bertanggungjawab melakukan genosid.

ICJ mendapati Myanmar bertanggungjawab melakukan genosid semasa operasi ketenteraan di utara Negeri Rakhine dengan keputusan undian sembilan menyokong dan enam menentang.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement