Peniaga bumiputera dalam semua peringkat dan sektor digesa keluar daripada zon selesa dan berfikr di luar kebiasaan untuk menghadapi dunia ekonomi yang penuh persaingan sekarang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata untuk berjaya di peringkat global, peniaga bumiputera perlu mempunyai dedikasi mendalam.

"Bumiputera perlu mempunyai daya saing. Tugas kami dalam kerajaan ialah membina daya saing golongan ini agar mereka dapat berdiri sama tinggi dengan taikun antarabangsa lain.

"Orang berniaga seperti mereka perlu lebih kreatif dan mempunyai kelainan daripada orang lain serta tidak gentar untuk membina perniagaan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan pertama Koperasi Sahabat Karya Berhad, di sini semalam.

Tajuddin berkata ahli perniagaan bumiputera perlu mengubah sikap dan kerangka berfikir tentang perniagaan agar mereka tidak ketinggalan dalam bidang yang diceburi.

"Mereka perlu mengubahnya sekarang juga jika mereka mahu diambil kira dalam industri yang pesat berkembang ini, mereka perlu mementingkan keberkesanan kos, mereka tidak boleh menjual sesuatu lebih mahal daripada yang dijual orang lain.

"Kualiti barang yang mereka jual juga mestilah sama baik, kalaupun tidak lebih baik daripada orang lain, cuba mempunyai kelainan daripada orang lain untuk mencapai apa yang mereka mahu," katanya.

Beliau berkata kehadiran pendatang di negara ini menjadikan keadaan lebih mencabar bagi kaum bumiputera untuk terus kekal dalam perniagaan.

"Sekarang kita bersaing dengan pendatang. Mereka orang berniaga, yang menguasai pasaran borong di tempat seperti Jalan Masjid India di tempat-tempat lain di sekitar ibu negara.

"Adalah sedih apabila kita (bumiputera) mempersia-siakan lesen, peluang perniagaan dan tempat berniaga. Kita sudah cukup gembira apabila mendapat sedikit komisyen dan bayaran daripada mereka.

"Ini tidak betul, kita perlu mengubahnya sekarang, bumiputera perlu ubah sikap dan kerangka berfikir mereka sebelum mereka (pendatang) mengambil alih perniagaan di negara ini," katanya.