Skip to main content

Dunia

Jennifer Lopez selesa hidup solo, belum sedia kembali bercinta

Setahun selepas bercerai dengan aktor Ben Affleck, Jennifer Lopez mengaku dirinya bahagia dan ‘silap’ kerana tidak menjalani hidup sebagai wanita solo lebih awal.
Jennifer Lopez mengakui beliau kini berada dalam fasa kehidupan yang lebih tenang apabila memilih untuk kekal solo, tanpa tergesa-gesa kembali menjalinkan hubungan cinta. - Astro Gempak

LOS ANGELES: Penyanyi dan pelakon terkenal, Jennifer Lopez, 56, mengakui beliau kini berada dalam fasa kehidupan yang lebih tenang apabila memilih untuk kekal solo, tanpa tergesa-gesa kembali menjalinkan hubungan cinta.

Menerusi penampilannya dalam rancangan Jimmy Kimmel Live!, Lopez berkata, beliau berasa gembira dengan status tersebut dan tidak menyangka akan menikmati kehidupan tanpa pasangan seperti yang dirasainya ketika ini.

Menurut Lopez, beliau sebelum ini mungkin terlalu bergantung kepada hubungan, malah berseloroh bahawa dia “sepatutnya melaluinya lebih awal” kerana merasakan dirinya pernah melakukan banyak perkara dengan cara yang tidak tepat.

Ketika diajukan cadangan untuk menyertai rancangan realiti mencari jodoh seperti The Bachelorette, Lopez secara tegas menolaknya sambil menegaskan beliau tidak mahu melakukan sesuatu yang boleh mengganggu kebahagiaan yang sedang dinikmati sekarang.

Bagaimanapun, Lopez tidak menutup sepenuhnya peluang untuk kembali bercinta pada masa depan. 

Beliau berkata, kemungkinan itu tetap ada jika bertemu individu yang tepat, namun buat masa ini lebih selesa memberikan fokus kepada diri sendiri.

Kenyataan tersebut hadir selepas perkahwinannya dengan aktor Ben Affleck berakhir apabila pasangan berkenaan rasmi bercerai pada Januari 2025, kira-kira dua tahun selepas mendirikan rumah tangga.

Untuk rekod, Lopez sebelum ini pernah melalui beberapa perkahwinan, termasuk dengan penerbit Ojani Noa, penari Cris Judd serta penyanyi Marc Anthony, yang juga bapa kepada anak kembarnya. 

Hubungan beliau bersama Affleck pula mencuri perhatian sejak awal 2000-an sebelum kembali bersama dan berkahwin pada 2022.

Dalam beberapa temu bual terdahulu, Lopez turut berkongsi bahawa beliau mengambil masa untuk diri sendiri selepas perceraian itu, termasuk berehat seketika daripada kerjaya bagi memahami pengalaman dan emosi yang dilalui, selain belajar menghargai kehidupan secara berdikari.

Selain itu, beliau turut berkongsi perasaan bercampur-baur menjelang perubahan dalam kehidupan keluarga apabila anak kembarnya, Max dan Emme, bersiap sedia untuk melanjutkan pengajian ke kolej. - Agensi
 

Must Watch Video

Advertisement