Skip to main content

Bisnes

Peningkatan harga bahan api jejas syarikat penerbangan Asia, caj tambahan dinaikkan

71717387343_Airplane.jpg
Syarikat penerbangan di Asia sedang menilai semula tambang dan pelan operasi berikutan kenaikan harga bahan api jet akibat konflik yang semakin memuncak di Asia Barat. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan di Asia sedang menilai semula tambang dan pelan operasi berikutan kenaikan harga bahan api jet akibat konflik yang semakin memuncak di Asia Barat mula memberi kesan kepada seluruh industri penerbangan, dengan beberapa syarikat penerbangan telah memperkenalkan pelarasan caj tambahan bahan api.

Di Malaysia, Batik Air Malaysia mengesahkan kepada Bernama bahawa pihaknya baru-baru ini mengeluarkan notis kepada rakan perdagangan perjalanan mengenai pelarasan caj tambahan bahan api bagi laluan domestik dan antarabangsa berikutan tekanan kos yang semakin meningkat oleh syarikat penerbangan.

Advertisement

Pengesahan itu dibuat susulan hantaran pengguna bernama Pemburu Tiket Murah yang tular di platform X mengenai beberapa syarikat penerbangan utama telah mengumumkan kenaikan caj tambahan bahan api berikutan peningkatan harga minyak global, antaranya Malaysia Airlines, Firefly dan Batik Air.

Menurut notis Batik Air bertarikh 9 Mac, surcaj bahan api yang disemak semula akan berkuat kuasa mulai 11 Mac bagi kebanyakan laluan manakala pelarasan untuk penerbangan yang melibatkan Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun akan bermula pada 25 Mac.

Bagi Firefly, anak syarikat Malaysia Aviation Group Bhd, pelarasan itu akan dilaksanakan secara dua peringkat iaitu Fasa 1 bermula 11 Mac melibatkan semua tempat jualan kecuali Filipina manakala Fasa 2 bermula 25 Mac melibatkan Filipina.

Malaysia Airlines turut mengumumkan akan melaksanakan pelarasan dalam dua peringkat.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Bernama, Malaysia Airlines masih belum mengesahkan mengenainya.

Pelarasan itu dilaksanakan dalam keadaan kebimbangan yang semakin meningkat dalam sektor penerbangan berikutan gangguan terhadap bekalan tenaga global akibat konflik Asia Barat, boleh menyebabkan kenaikan mendadak harga bahan api jet.

Keadaan ini sekali gus memaksa syarikat penerbangan untuk menaikkan tambang atau menilai semula operasi penerbangan.

Harga bahan api jet yang sebelum ini berada antara AS$85 setong hingga AS$90 setong (AS$1 = RM3.94) sebelum konflik tercetus, telah melonjak melebihi AS$100 setong dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

Di seluruh rantau Asia Pasifik, beberapa syarikat penerbangan juga telah mula menaikkan tambang susulan peningkatan kos bahan api jet.

Air New Zealand telah menaikkan harga tambang untuk semua laluan domestik, perkhidmatan antarabangsa jarak dekat dan penerbangan jarak jauh.

Vietnam Airlines dilaporkan menggesa pihak berkuasa tempatan untuk memansuhkan cukai alam sekitar terhadap bahan api jet susulan peningkatan kos operasi antara 60 hingga 70 peratus akibat kenaikan harga bahan api.

Sementara itu, Hong Kong Airlines turut akan menaikkan caj bahan api mulai 12 Mac melibatkan beberapa laluan.

Semakan di laman web Singapore Airlines hari ini mendapati tiada penerbangan antara Singapura dan London sehingga 25 Mac manakala harga penerbangan yang tersedia mulai 26 Mac adalah antara S$4,100 hingga S$4,300 (S$1 = RM3.09).

Tiket kelas ekonomi sehala dari Heathrow ke Singapura pada 5 Mac dilaporkan dijual pada harga S$10,916 iaitu kira-kira 900 peratus lebih tinggi berbanding tambang pada akhir bulan itu.

Sementara itu, laman web Cathay Pacific dilaporkan tidak menunjukkan tempat duduk kelas ekonomi yang ditawarkan bagi laluan Hong Kong-London sehingga 11 Mac, apabila tambang sehala terendah ialah HK$21,158 berbanding HK$5,054 iaitu harga yang biasa pada akhir bulan (HK$1=RM0.50).

Pakar industri berkata sektor penerbangan amat terdedah kepada kejutan harga bahan api memandangkan bahan api jet biasanya menyumbang antara 20 peratus dan 30 peratus daripada perbelanjaan operasi sesebuah syarikat penerbangan.

Pensyarah Sekolah Perniagaan Universiti Kuala Lumpur Profesor Madya Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian yang juga pakar industri penerbangan, berkata situasi semasa adalah serius dan sengit dalam erti kata akan berlaku tekanan ekonomi dan kewangan yang meluas ke atas industri penerbangan di pelbagai negara. 

Beliau berkata bahan api jet merupakan sebahagian besar daripada kos operasi syarikat penerbangan, dan data terdahulu menunjukkan bahawa turun naik harga bahan api boleh mengurangkan margin keuntungan dengan mendadak.

“Ini telah terbukti pada 1970-an dan 1990-an apabila gangguan dalam rantaian bekalan bahan api jet menyebabkan peningkatan mendadak harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata harga minyak telah melepasi AS$100 setong dan berkemungkinan mencecah AS$150 setong jika gangguan di Selat Hormuz berterusan sehingga April 2026. 

Menurut unjurannya, syarikat penerbangan mungkin terpaksa menaikkan harga tiket antara lima peratus dan 10 peratus atau lebih, sekiranya mereka gagal mengoptimumkan kos operasi dan strategi pengurusan bahan api. 

Katanya kebanyakan syarikat penerbangan, tanpa mengira lokasi dan negara asal amat terdedah kepada peningkatan mendadak harga minyak. 

“Walaupun Asia amat terjejas dengan halangan di Selat Hormuz, rantau lain turut menerima nasib yang sama akibat pergolakan itu, yang menunjukkan bahawa sebarang ketidaktentuan ekonomi akan memberikan tekanan kewangan kepada pihak lain yang berkaitan,” katanya. 

Menurut Mohd Harridon, data sejarah menunjukkan bahawa syarikat penerbangan akan berada dalam kedudukan yang lebih baik jika kos operasi dikongsi atau dipindahkan kepada penumpang, namun langkah ini akan menjejaskan atau mengurangkan kemasukan penumpang sekali gus menyebabkan pendapatan menyusut mendadak. 

“Oleh itu, adalah penting bagi syarikat penerbangan untuk menilai perubahan kewangan bagi mengimbanginya dengan tahap kenaikan harga tiket penerbangan dan kerugian yang bakal ditanggung sekiranya harga tiket dinaikkan,” katanya. 

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pada 6 Mac melaporkan Selat Hormuz, yang biasanya mengendalikan sekitar 20 peratus daripada bekalan minyak dunia tidak dapat dilalui mengakibatkan trafik kapal tangki merosot sebanyak 70 peratus sehingga 80 peratus.

Keadaan ini sekali gus mewujudkan implikasi segera kepada produk ditapis seperti bahan api jet, terutamanya bagi wilayah yang sangat bergantung kepada bekalan dari Teluk Parsi. 

Beliau berkata Eropah adalah antara yang paling terjejas, dengan 25 peratus hingga 30 peratus daripada permintaan bahan api jetnya berasal dari Teluk Parsi. 

Pada masa sama, beliau berkata pembekal alternatif yang berpotensi seperti India dan China turut berdepan kekangan masing-masing, apabila 84 peratus minyak mentah yang melalui selat itu adalah bagi pasaran Asia, sekali gus mengehadkan ketersediaan minyak mentah global yang diperlukan untuk penapisan bahan api jet.

Konflik Amerika Syarikat(AS)-Iran telah menjejaskan operasi lapangan terbang di seluruh dunia dengan ketara, dengan ribuan penerbangan di Asia Barat dibatalkan, dan ruang udara di rantau itu ditutup selepas AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video