PENTING bagi setiap perniagaan untuk bangun dengan jenama tersendiri khususnya bagi mencipta identiti syarikat, sekali gus mewujudkan serta menguatkan kepercayaan kepada prospek.

Bagaimanapun banyak syarikat terutamanya usahawan tempatan terus ‘langkau’ membuat pelaburan bagi tujuan pemasaran tanpa mengukuhkan jenama terlebih dahulu, ia bukanlah sebuah strategi perniagaan yang efektif.

Perunding Jenama People’s Brand Agency, Sam Bahren berkata, mengikut kepada kajian kes yang dilaksanakannya, kebanyakan syarikat tidak mempunyai atau kurang menekankan tumpuan kepada penjenamaan produk.

“Kebanyakan usahawan terus memperuntukkan pelaburan bagi tujuan pemasaran tanpa memperhebatkan jenama masing-masing.

"Teras identiti adalah asas yang sangat penting, ia turut merangkumi warna korporat, logo serta perkara-perkara ‘kosmetik’ lain.

“Sebagai pusat sehenti penyelesaian jenama, kami melihat perkara ini sangat perlu diberi perhatian bagi sebuah syarikat dalam mempunyai identiti yang tepat untuk terus berdaya saing,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

Usahawan perlu fokus membangunkan jenama perniagaan dalam mencapai potensi dinamik sekali gus dapat meningkatkan potensi perkhidmatan dan produk syarikat.

People’s Brand Agency (PBA) merupakan sebuah agensi beribu pejabat di Shah Alam yang menawarkan pelbagai nasihat atau rundingan berkaitan penjenamaan, pemasaran dan pengiklanan daripada platform dalam talian hingga ke luar talian.

PBA turut memberi fokus dalam membantu jenama perniagaan dalam mencapai potensi yang dinamik serta meningkatkan perkhidmatan dan produk syarikat.

Mengulas mengenai strategi perniagaan, menurut Sam, usahawan perlu mempunyai pangkalan data (database) dalam mengenalpasti trend serta bagi mendalami kehendak pelanggan, bukannya semata-mata apa yang peniaga itu sendiri inginkan.

“Kita perlu mengambil tahu apa yang pelanggan inginkan dan mencari titik persamaan bagi memastikan perniagaan benar-benar relevan dan tidak ‘syok sendiri’.

“Menerusi penilaian database ini kita akan lakukan ‘postmortem’ mencari solusi terbaik terhadap produk yang mereka (usahawan) perlu tawarkan kepada pasaran,” ujarnya.

penilaian databased ini kita akan lakukan ‘postmortem’ mencari solusi terbaik terhadap produk yang ditawarkan.

Tambah beliau, selepas mengenal pasti potensi tersebut langkah seterusnya adalah mengembangkan jaringan perniagaan menerusi langkah pemasaran yang sistematik dan berkesan.

“Kita perlu susun strategi dan perancangan yang tepat dalam ‘menguar-uarkan’ produk atau perkhidmatan disediakan kepada pasaran, perkara ini membolehkan prospek mengenal produk anda.

“Pemasaran boleh dikatakan seperti nadi utama dalam sesebuah perniagaan selain membuatkan orang ramai peka (brand awareness) dan sedar mengenai produk ditawarkan,” jelasnya yang menegaskan agar para usahawan kini wajib memasarkan produk secara digital.

Sam turut mengingatkan agar usahawan perlu memastikan jaminan selepas pemasaran (post-marketing), khususnya terhadap kawalan kualiti produk mahupun perkhidmatan, ia bagi memastikan kelangsungan serta reputasi syarikat.

Dalam pada itu, PBA menyasarkan untuk membantu sebanyak 100 usahawan kecil dan sederhana serta syarikat dengan pendapatan antara RM500,000 hingga RM1 juta pada tahun ini khusus dalam perundingan penjenamaan dan pemasaran.

Usahawan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut serta mendapatkan rundingan penjenamaan serta pemasaran boleh menghubungi PBA serta layari laman web rasmi mereka di People’s Brand Agency.