KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menggesa polis mempercepatkan siasatan berhubung dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan ahli perniagaan, Albert Tei.
Azam menegaskan beliau tidak pernah bertemu atau berurusan dengan individu berkenaan.
"Saya serahkan perkara ini kepada polis untuk menjalankan siasatan. Saya mahu siasatan disegerakan supaya fakta sebenar dapat diketahui orang ramai," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Azam berkata beliau tidak bimbang dan yakin kebenaran akan terserlah melalui proses perundangan.
"Saya tiada apa-apa yang hendak ditakutkan. Biarlah perkara ini ditentukan mengikut saluran undang-undang," katanya.
Menurut Azam, individu terbabit telah didakwa di mahkamah dan semua pihak perlu menghormati proses perundangan tanpa membuat spekulasi atau dakwaan tidak berasas.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk M Kumar memaklumkan pihak polis telah menghubungi Azam dan keterangan beliau dijangka direkodkan minggu depan.